Pelabur institusi tempatan mampu beri sokongan kepada Sekuriti Kerajaan Malaysia - MARC | DagangNews Skip to main content

Pelabur institusi tempatan mampu beri sokongan kepada Sekuriti Kerajaan Malaysia - MARC

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - Malaysian Rating Corp. Bhd. (MARC) menjangkakan kenaikan dalam keluk hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dengan kecenderungan mendatar pada 2022. 

 

Menurut agensi penarafan ini, penurunan dalam pegangan asing hutang kerajaan tempatan akan berterusan dalam tempoh terdekat, beserta ringgit yang semakin lemah apabila pelabur memikirkan tempoh masa dan kadar penarikan balik Amerika Syarikat (AS).

 

"Namun begitu, kami percaya kenaikan hasil MGS tidak akan terlalu ketara memandangkan sebaran hasil yang semakin meluas antara MGS dan bon berdaulat utama yang boleh memikat pelabur untuk mencari hasil.

 

"Kehadiran banyak pelabur institusi tempatan juga akan memberi sedikit sokongan kepada MGS," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Malah, ia juga mendapati kebimbangan semakin meningkat di seluruh dunia ekoran lebih banyak isu sampingan penawaran yang akan mendorong inflasi ke paras di mana bank pusat merasa tidak selesa, selain melembapkan pemulihan ekonomi yang sudah rapuh.

 

Oleh itu, beberapa negara telah pun menyaksikan peningkatan inflasi jauh melebihi sasaran dasar monetari.

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat penarikan semula Bank Negara Malaysia (BNM) yang mungkin berlaku pada separuh kedua 2022 akan mendahului keluk dalam menangani kenaikan harga dan aliran keluar modal," jelasnya. 

 

Mengenai pembekalan berdaulat, MARC menjangkakan jumlah terbitan kasar MGS/Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) berada dalam julat antara RM160 hingga RM170 bilion pada tahun ini. 

 

Katanya, ini berdasarkan kepada unjuran defisit bajet kerajaan sebanyak RM97.5 bilion, serta RM65.3 bilion nilai MGS/GII yang akan matang pada tahun yang sama.

 

"Namun begitu, kami melihat potensi kenaikan dalam anggaran tahun ini dengan mengambil kira pemulihan ekonomi dalam tempoh jangka masa panjang dan kekurangan sumber dana," katanya.

 

Pada tahun ini juga, agensi itu mendapati persekitaran pengumpulan modal dijangka kurang kondusif di tengah-tengah kenaikan kos pembiayaan memandangkan bank pusat mengurangkan rangsangan dasar monetari.

 

"Bagaimanapun, dengan ekonomi Malaysia dijangka kekal di landasan untuk pemulihan, kami meramalkan terbitan bon korporat lebih sederhana sedikit pada 2022 kepada antara RM100 bilion dan RM110.0 bilion," menurutnya. - DagangNews.com