Skip to main content

Pelajar PhD UPM Sertai Persidangan Antarabangsa Stockholm+50 di Sweden

Mogesh Sababathy bergambar bersama Greta Thunberg, aktivis alam sekitar terkenal di Sweden.

SERDANG 30 Jun - Pelajar Ijazah Kedoktoran dalam bidang Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mogesh Sababathy merupakan satu-satunya pelajar di Malaysia yang menyertai Stockholm+50 Youth Assembly dan Persidangan Antarabangsa Stockholm+50 di Sweden baru-baru ini.

 

Beliau yang merupakan salah seorang aktivis alam sekitar dan ahli kepada Official Youth Constituency of the United Nations Framework Convention on Climate Change (YOUNGO) berkata persidangan tersebut memberi peluang kepada perwakilan anak muda membincangkan isu-isu alam sekitar ke peringkat yang lebih tinggi.

 

"Sepanjang persidangan saya telah menyediakan persediaan dokumen Stockholm+50 Global Youth Policy Paper iaitu sebuah dokumen yang merangkumi hasrat dan tuntutan para belia kepada para pemimpin dunia untuk memperkukuhkan polisi berkaitan pengurusan alam sekitar dan mengambil tindakan yang pantas untuk menangani isu perubahan iklim di peringkat global mahupun nasional.

 

"Antara tuntutan utama yang ditekankan dalam dokumen ini termasuklah keperluan tindakan yang cekap dan pantas untuk memperkukuhkan strategi penambahbaikan kesihatan persekitaran dan alam sekitar, pemulihan yang mampan daripada COVID-19, pembangunan lestari dan proses mengambil keputusan yang lebih inklusif," katanya.

 

Tambah beliau, persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula 31 Mei sehingga 3 Jun lepas memberinya satu bentuk pandangan yang positif apabila melihat kepada kesungguhan dan keterlibatan para belia sepanjang program ini berlangsung.

 

Selain dapat menambah pengetahuan mengenai isu-isu alam sekitar yang berlaku di negara dan rantau lain, beliau berpeluang untuk berkongsi pandangan dan pendapat khususnya mengenai cara penyelesaian masalah alam sekitar bersama wakil-wakil belia yang hadir.

 

Mogesh
Mogesh Sababathy semasa di Stockholm+50 Youth Assembly dan Persidangan Antarabangsa Stockholm+50 di Sweden pada awal Jun 2022.

 

 

"Saya berasa bersemangat, terharu dan inspirasi apabila berada bersama aktivis-aktivis belia daripada seluruh dunia yang mempunyai pelbagai idea bernas dan sanggup untuk turut bersama pemimpin-pemimpin dunia dalam usaha untuk mengatasi isu perubahan iklim.

 

"Pengalaman terlibat dalam persidangan antarabangsa ini adalah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan lebih-lebih lagi apabila mendapat peluang untuk terlibat secara langsung dalam proses persidangan dan wacana yang diadakan bersama perwakilan-perwakilan negara daripada seluruh dunia," katanya.

 

 

Mogesh

 

Mogesh

 

Mogesh

 

 

Mogesh telah ditaja oleh United Nations Major Group for Children and Youth, sebuah organisasi yang secara rasminya diberi mandat oleh United Nations General Assembly bertindak sebagai jambatan antara anak muda dan sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Beliau juga berharap agar penglibatannya itu menggalakkan lebih ramai belia untuk terlibat dalam usaha melindungi alam sekitar dan perubahan iklim di dalam dan luar negara. - DagangNews.com