Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Jiwo Niago - 8 September 2020

Pelan perniagaan sebagai strategi pengembangan perniagaan

 

Saya ingin menyentuh mengenai pelan atau rancangan perniagaan dari segi kepentingannya, fungsi, dan format yang biasa digunakan semasa merangka pelan perniagaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya Prof. Madya Dr. Zarina Salleh dan Siti Zahrah Buyong dari Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan (MASMED) Universiti Teknologi MARA yang pernah bersama saya menulis buku mengenai pelan perniagaan kira-kira 15 tahun yang lalu. Kandungan buku tersebut disentuh sepintas lalu dalam penulisan saya kali ini.
 

aaa

Selepas mengenal pasti dan memilih satu peluang perniagaan dan selepas merangka model perniagaan yang sesuai, usahawan perlu membuat perancangan yang teratur supaya perniagaan yang dirancang dapat dilaksana dengan berkesan dan sumber-sumber perniagaan dapat digunakan dengan lebih cekap. Langkah berikutnya ialah menyediakan sebuah rancangan atau pelan perniagaan yang lengkap dan komprehensif. Kanvas model perniagaan yang disediakan sebelum ini dapat membantu usahawan menyediakan pelan perniagaannya.

Sejak sekian lama banyak syarikat besar mahupun yang kecil telah menyediakan pelan perniagaan untuk tujuan dokumentasi strategi dan matlamat perniagaan. Kebanyakan usahawan juga menyediakan pelan perniagaan untuk tujuan mendapatkan pembiayaan kewangan dari pelabur dan institusi kewangan.

Walaupun ada orang yang mempertikaikan kepentingan pelan perniagaan, namun tidak dapat dinafikan bahawa penyediaan dokumen tersebut boleh membantu kejayaan sesebuah perniagaan. Seperti penemuan daripada penyelidikan yang dijalankan di beberapa buah negara, dua penyelidikan yang pernah saya terlibat telah merumuskan bahawa kewujudan pelan perniagaan berkait rapat dengan prestasi dan pengembangan perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Pelan perniagaan merupakan satu dokumen bertulis yang memperincikan perkara-perkara yang hendak dilaksanakan. Dokumen tersebut mengandungi maklumat berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan serta perancangan mengenai aspek pemasaran, pengurusan, operasi dan kewangan.

Tujuan Pelan Perniagaan

Masih ramai usahawan yang kurang yakin dengan pelan perniagaan dan ada yang berpendapat menulis pelan perniagaan merupakan satu perkara yang remeh dan membuang masa. Ada yang beranggapan bahawa perniagaan boleh terus dijalankan tanpa perlu didokumentasikan. Anggapan tersebut sebenarnya kurang tepat.

Dengan adanya pelan perniagaan (walaupun ditulis secara ringkas) akan memudahkan usahawan menilai dan merujuk semula perancangan yang telah dibuat. Jika perancangan tidak didokumentasikan dan usahawan hanya bergantung kepada daya ingatan semata-mata, agak sukar untuk melakukan kajian semula terhadap perancangan tersebut.

Perkara pokok yang perlu didokumentasikan dalam pelan perniagaan ialah matlamat yang hendak dicapai. Beberapa hasil kajian menunjukkan terdapat hubung kait antara penetapan matlamat dengan kejayaan sesebuah perniagaan. Oleh yang demikian, strategi penetapan matlamat dalam pelan perniagaan menyebabkan dokumen tersebut menjadi sangat penting kepada usahawan.

Selain daripada itu, tujuan menyediakan pelan perniagaan ialah untuk menilai sama ada peluang perniagaan yang ingin diteroka berdaya maju atau sebaliknya. Penilaian sesuatu peluang perniagaan perlu diasaskan kepada fakta dan maklumat terkini. Banyak perniagaan gagal selepas beberapa tahun beroperasi disebabkan kegagalan usahawan menyediakan pelan perniagaan sebelum memulakan perniagaan.

Kebanyakan usahawan menyediakan pelan perniagaan hanya untuk tujuan memohon pinjaman daripada bank atau institusi kewangan. Keperluan menyediakan dokumen ini dilihat sebagai memenuhi syarat permohonan untuk mendapatkan pembiayaan semata-mata. Oleh kerana penyediaan dokumen ini sering dikaitkan dengan permohonan pinjaman semata-mata, maka ramai usahawan menghadapi kesukaran untuk menghayati kepentingan dan keperluan menyediakan dokumen ini.

Setelah permohonan mereka diluluskan (atau mungkin juga ditolak) dokumen tersebut tidak lagi dirujuk ketika melaksanakan projek yang dirancang. Besar kemungkinan ini berlaku kerana dokumen tersebut disediakan oleh pihak lain yang dibayar perkhidmatannya. Oleh yang demikian maklumat yang terkandung dalam pelan perniagaan berkenaan tidak menggambarkan hasrat sebenar usahawan. Sebaliknya usahawan lebih cenderung memberi maklumat yang dapat mempengaruhi dan meyakinkan pihak pembaca atau penilai untuk meluluskan permohonan pinjaman.

Fungsi Pelan Perniagaan

Panduan mengurus perniagaan 
Pelan perniagaan merupakan `peta’ yang diperlukan sebagai panduan dalam mengendalikan aktiviti perniagaan. Oleh kerana pelan perniagaan memberi gambaran mengenai apa yang hendak dicapai, dokumen ini membimbing dan membantu usahawan melaksana aktiviti bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Dokumen ini juga dapat membantu usahawan mengkaji semula atau mengubahsuai aktiviti dan halatuju yang telah ditetapkan semasa memulakan dan mengendalikan perniagaan jika keadaan memerlukan usahawan berbuat demikian.

Mengurangkan risiko kegagalan 
Pelan perniagaan membimbing usahawan mengurangkan risiko kegagalan dengan membuat anggaran dan pengiraan yang betul mengenai hasil dan kos yang terlibat dalam perniagaan yang dirancang. Justeru, usahawan akan mengkaji dan menilai daya maju perniagaan berasaskan maklumat terkini sebelum membuat keputusan untuk melaksanakannya. Secara tidak langsung, penyediaan pelan perniagaan memaksa usahawan mengumpul maklumat terkini dalam pasaran bagi memastikan pulangan yang bakal diterima adalah berbaloi berbanding kos yang terlibat.

Menentukan jumlah modal dan sumber pembiayaan 
Pelan perniagaan disediakan untuk mengira jumlah modal atau wang yang diperlukan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan. Penyediaan dokumen ini juga dapat membantu usahawan mengenal pasti sumber pembiayaan yang diperlukan bagi melaksana projek yang dirancang.

Agihan sumber 
Kebanyakan usahawan mengendalikan perniagaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS). Oleh yang demikian, kebanyakan mereka mempunyai sumber yang terhad untuk digembleng dalam perniagaan. Penyediaan pelan perniagaan boleh membantu usahawan mengagih sumber-sumber tersebut dengan lebih berkesan. Ini akan dapat mengelakkan pembaziran dan seterusnya meningkatkan keuntungan perniagaan.

Memahami selok-belok perniagaan 
Penyediaan pelan perniagaan membantu usahawan memahami secara mendalam mengenai bidang perniagaan yang bakal diceburi. Dalam proses penyediaan pelan perniagaan, usahawan terpaksa mendalami setiap aspek pengurusan perniagaan seperti pemasaran, pentadbiran, operasi dan kewangan. Oleh yang demikian, adalah penting bagi usahawan untuk menyediakan sendiri dokumen ini tanpa mengupah orang lain menyediakannya.

Mengawal aktiviti perniagaan 
Pelan perniagaan juga merupakan dokumen yang boleh digunakan untuk mengawal kegiatan perniagaan. Melalui dokumen ini usahawan dapat membandingkan pencapaian sebenar dengan apa yang telah dirancang sebelum ini. Jika terdapat perbezaan diantara pencapaian sebenar dengan yang dirancang, usahawan boleh mencari punca sebenar berlakunya perbezaan tersebut dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk memperbaiki prestasi perniagaan.

 

lll

 

Siapa yang membaca pelan perniagaan?
Mengenal pasti pihak yang berminat dengan pelan perniagaan adalah penting. Ini bertujuan untuk memastikan pelan perniagaan dapat disediakan sebaik mungkin bagi meyakinkan pembaca yang disasarkan. Pembaca sasaran merujuk kepada pihak yang akan meembaca dan meneliti dokumen berkenaan untuk tujuan-tujuan khusus. Antara pembaca sasaran pelan perniagaan adalah seperti berikut:

Usahawan 
Pembaca atau pengguna utama pelan perniagaan ialah usahawan itu sendiri. Sebagai pengusaha atau pemilik perniagaan, usahawan perlu mengetahui selok-belok projek yang bakal dilaksanakan secara terperinci. Justeru, penyediaan pelan perniagaan dapat membantu usahawan merancang dan membuat keputusan dengan lebih berkesan. Di samping itu, usahawan juga dapat menilai daya maju projek dari aspek pemasaran, operasi, pentadbiran dan kewangan.

Pelabur 
Usahawan mungkin memerlukan pihak lain untuk melabur dalam projek yang dirancang. Pihak-pihak tertentu seperti pemodal teroka (venture capitalists) atau pelabur persendirian (business angels) perlu diyakinkan agar mereka berminat untuk berkongsi keuntungan dengan membuat pelaburan dalam perniagaan tersebut. Lazimnya mereka meneliti pelan perniagaan untuk menilai sama ada perniagaan mampu memberi pulangan yang baik terhadap pelaburan yang bakal dibuat.

Bank dan institusi kewangan 
Bank dan institusi kewangan merupakan pihak yang boleh membantu usahawan memperoleh pembiayaan bagi melaksanakan projek perniagaan yang dirancang.  Sebagai pembiaya, bank dan institusi kewangan memerlukan maklumat berhubung kedudukan kewangan perniagaan dari aspek aliran wang tunai dan keuntungan perniagaan. Aliran wang tunai dan keuntungan dapat memastikan kelangsungan perniagaan dan kemampuan perniagaan untuk membayar balik pinjaman yang dipohon. Justeru, pihak bank dan institusi kewangan perlu meneliti dan menilai pelan perniagaan untuk memastikan perniagaan yang dirancang berdaya maju dan berkemampuan untuk membayar balik pinjaman.

Pembekal kredit 
Lazimnya, agak sukar bagi sebuah perniagaan baru untuk mendapatkan kemudahan bekalan bahan secara kredit daripada pembekal. Bagaimanapun, masih ada pembekal yang bersedia untuk menawarkan kemudahan ini jika usahawan dapat meyakinkan mereka tentang kemampuannya untuk membayar balik hutang dalam tempoh yang ditetapkan. Oleh itu, pelan perniagaan dapat membantu usahawan meyakinkan pembekal mengenai kemampuan perniagaan membayar balik hutang tersebut.

Pihak-pihak lain 
Pelan perniagaan juga dapat meyakinkan pihak-pihak lain mengenai daya maju perniagaan yang dirancang. Sebagai contoh, pihak yang menawarkan tender untuk bekalan sesuatu barangan atau perkhidmatan memerlukan maklumat mengenai kemampuan usahawan untuk membekal barangan atau menawarkan perkhidmatan tersebut.

Di samping itu, pelan perniagaan juga boleh menarik minat pekerja yang berkebolehan untuk berkhidmat dengan usahawan. Kebanyakan PKS menghadapi masalah mendapatkan pekerja yang berkebolehan. Pekerja lebih berminat untuk berkhidmat dengan perniagaan besar kerana kebanyakan mereka beranggapan bahawa perniagaan besar mempunyai kedudukan kewangan yang teguh dan masa hadapan yang lebih baik berbanding PKS. Justeru, pelan perniagaan boleh meyakinkan bakal pekerja mengenai prestasi dan kedudukan kewangan perniagaan pada masa hadapan.

Minggu hadapan saya akan menyentuh mengenai format yang lazim digunakan dalam penyediaan pelan perniagaan.

 

Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA

 

KOLEKSI JIWO NIAGO

Pemikiran Kreatif dan Peranannya Dalam Perniagaan

Memilih idea, peluang niaga yang sesuai untuk anda

TIDAK SEMUA BISNES PERLU MODAL TINGGI

Model Perniagaan mesti ada nak kembangkan bisnes

Fahami tawaran nilai produk anda dari perspektif pelanggan

 

 

 

Portfolio Tags