Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Jiwo Niago - 11 August 2020

Memilih idea, peluang niaga yang sesuai untuk anda

 

Ramai yang berminat untuk berniaga dan ramai juga yang telah meminta pandangan saya mengenai peluang perniagaan terbaik yang boleh mereka jalankan. Dengan jujur saya katakan bahawa agak sukar bagi saya untuk memberitahu peluang perniagaan yang terbaik untuk mereka.

 

Saya setuju dengan pandangan pengasas Alibaba, Jack Ma yang menyatakan bahawa peluang yang hebat selalunya sukar untuk diterangkan. Beliau berpendapat “A great opportunity is often hard to be explained clearly; things that can be explained clearly are often not the best opportunities.”
 

ma

Mencari dan memilih peluang perniagaan merupakan suatu proses yang memerlukan penilaian teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor. Bagaimanapun, ramai yang menjalankan perniagaan tanpa mengkaji dan menilai terlebih dahulu sama ada perniagaan tersebut berdaya maju dan sesuai dijalankan oleh mereka. Ini menyebabkan ramai yang menghadapi pelbagai masalah dalam pengurusan perniagaan sehingga ada yang menutup perniagaan dan hilang minat untuk terus berniaga.

 

Banyak kajian telah dijalankan di dalam dan luar negara yang menunjukkan secara purata, lapan daripada sepuluh perniagaan gagal meneruskan operasi dalam tempoh lima tahun pertama penubuhannya. Gagasan Badan Ekonomi Melayu Malaysia (2018) pula melaporkan hanya 18% sahaja perniagaan Bumiputera yang masih beroperasi selepas lima tahun ditubuhkan.

 

Antara faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan perniagaan ialah pemilihan peluang perniagaan yang kurang sesuai. Ini diikuti dengan faktor-faktor lain seperti masalah pengurusan dan kelemahan kewangan.

 

Dari Idea Kepada Peluang Perniagaan

Peluang perniagaan biasanya dipilih daripada pelbagai idea perniagaan yang tercetus hasil daripada proses pemikiran kreatif seseorang.  Berbeza dengan tanggapan umum, idea perniagaan tidak sama dengan peluang perniagaan.

 

Idea perniagaan adalah suatu konsep perniagaan yang mungkin berpotensi untuk menjana pendapatan. Ia merupakan barangan atau perkhidmatan yang masih belum mempunyai nilai komersial kerana daya majunya belum lagi dikaji.

 

Penjanaan idea perniagaan bermula dengan mengenal pasti industri atau jenis perniagaan yang diminati. Tidak semua idea perniagaan boleh menjadi peluang perniagaan yang baik. Sebelum menjadi peluang perniagaan yang sesuai idea perniagaan perlu menepati beberapa kriteria.  
 

idea

Lazimnya sesuatu idea boleh menjadi peluang yang sesuai jika idea tersebut memiliki beberapa ciri, antaranya:

  • Masih terdapat ruang dan peluang untuk menawarkan barangan/perkhidmatan
  • Mampu menyelesaikan masalah pelanggan
  • Mampu menjana keuntungan kepada pengusaha
  • Sesuai dari sudut agama, moral dan perundangan
  • Mempunyai kos projek yang realistik
  • Mampu menjana keuntungan dalam jangka masa panjang
  • Ada prospek untuk berkembang

 

Menilai Peluang Perniagaan

Kesesuaian sesuatu peluang perniagaan boleh dinilai melalui kajian terhadap faktor-faktor yang membolehkan peluang tersebut menjana pendapatan dan keuntungan kepada usahawan. Terdapat dua faktor utama yang perlu di kaji iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

 

Faktor dalaman merupakan faktor psikologi yang berkaitan dengan keupayaan kognitif individu dan juga faktor bukan psikologi yang berkaitan dengan keupayaan dan kemampuan individu dari segi sumber yang dimilikinya. Antara faktor psikologi yang mempengaruhi kesesuaian sesuatu peluang perniagaan ialah minat, dorongan, komitmen dan kesungguhan usahawan untuk merealisasikan peluang tersebut.

 

Faktor bukan psikologi pula ialah kualiti dan kemampuan usahawan dari segi pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kewujudan sumber seperti kewangan, fizikal, dan tenaga kerja.

 

Faktor luaran membabitkan perniagaan dan persekitaran. Terdapat sekurang-kurangnya lapan faktor luaran yang boleh menentukan kesesuaian peluang perniagaan iaitu pasaran, kewangan, teknikal, ekonomi, sosio-budaya, kemajuan teknologi, pengaruh kerajaan, dan tahap risiko.

 

Faktor pasaran yang paling utama yang perlu dinilai ialah saiz pasaran iaitu jumlah pelanggan yang berpotensi untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang akan ditawarkan. Lakukan sedikit penyelidikan pasaran untuk mengetahui kewujudan permintaan dalam pasaran dan anggarkan saiz pasaran. Di samping itu tahap persaingan juga perlu diambil kira. Usahawan baru seharusnya memasuki bidang perniagaan yang mempunyai tahap persaingan yang rendah.

 

Faktor kewangan membabitkan pengiraan kos permulaan dalam menentukan jumlah pelaburan dan sumber pembiayaan bagi memulakan perniagaan. Kewujudan sumber modal bagi membiayai perniagaan perlu dikaji untuk memastikan peluang perniagaan tersebut dapat direalisasikan. Modal untuk menjalankan perniagaan diperoleh dari dua sumber iaitu sumber dalaman (sendiri) dan sumber luaran. Sumber dalaman terdiri daripada wang simpanan yang sedia ada atau dari kaum keluarga. Sumber luaran pula terdiri daripada pinjaman bank, skim pembiayaan kerajaan, kemudahan kredit daripada pembekal, kemudahan sewa beli dan sebagainya.

 

Faktor teknikal berkait dengan keperluan bahan mentah, pembekal bahan mentah, keperluan peralatan, dan prasarana. Usahawan bergantung kepada pembekal untuk mempoleh bahan mentah, peralatan, mesin, dan sebagainya. Kenalpasti pembekal yang boleh menawarkan bahan dan peralatan pada harga yang berpatutan dengan kualiti yang terbaik.

 

Faktor ekonomi mempunyai kesan langsung ke atas kuasa beli dan corak pembelian pelanggan. Sebagai contoh, apabila pendapatan meningkat, pelanggan cenderung untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang boleh meningkatkan kualiti dan taraf hidup kereka.

 

Faktor sosio-budaya membabitkan kefahaman mengenai kesan faktor tersebut ke atas idea perniagaan. Sebagai contoh, kemunculan banyak restoran makanan segera bukan kerana pelanggan menggemari makanan tersebut tetapi disebabkan kesebokan dengan tugas harian sehingga mendorong mereka untuk mencari jalan pintas dengan melanggan makanan segera berbanding makanan berat.

 

Kemajuan teknologi boleh mewujudkan peluang untuk menyediakan barangan atau perkhidmatan bagi membantu pelanggan memenuhi keperluan asas dan keinginan mereka untuk melakukan sesuatu kerja dengan lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, perkembangan pesat dalam teknologi mobile telah meningkatkan peluang mecipta aplikasi dan platform maya yang memudahkan pelanggan berurusan dengan pelbagai pihak secara online.

 

Pengaruh kerajaan juga memberi kesan secara langsung kepada peluang perniagaan melalui penetapan prosedur dan penggubalan dasar-dasar seperti Dasar Pertanian Negara, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Perumahan Negara, Dasar Keusahawanan Nasional dan sebagainya. Usahawan perlu peka terhadap sebarang perubahan prosedur dan dasar kerajaan kerana ia boleh mempengaruhi kewujudan peluang perniagaan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Di samping itu, pihak kerajaan juga menyediakan pelbagai sokongan dan bantuan dalam bentuk penyediaan prasarana, bantuan kewangan, khidmat nasihat dan sebagainya.

 

Adalah penting untuk menilai tahap risiko yang bakal dihadapi dalam merealisasikan sesuatu peluang perniagaan. Tahap risiko merujuk kepada peratusan kemungkinan kejayaan atau kegagalan sesuatu perniagaan. Secara umum, tinggi atau rendah tahap risiko bergantung kepada tiga faktor, iaitu susah atau senang untuk memasuki sesuatu bidang perniagaan; jumlah pelaburan atau modal yang terlibat; dan kadar pulangan atau keuntungan yang bakal diterima.

 

Bagi mengakhiri kolum minggu ini saya ingin menekankan betapa pentingnya peranan idea dan peluang perniagaan dalam menyelesaikan masalah pelanggan di samping menambahbaik kehidupan harian mereka. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Richard Branson, pengasas Virgin Group, “If you can improve people’s lives, you have a business.”
 

ranhill

 

 

Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA

 

 

KOLEKSI JIWO NIAGO

Pemikiran Kreatif dan Peranannya Dalam Perniagaan

Sikap `BERANI GAGAL' dorong kejayaan usahawan

Membina minda usahawan cemerlang: Ciri & Kecekapan Keusahawanan

Keusahawanan digital: satu paradigma baru keusahawanan

 

 

 

 

Portfolio Tags