Pemerkasa Plus sekurang-kurangnya tampung perbelanjaan asas rakyat | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa Plus sekurang-kurangnya tampung perbelanjaan asas rakyat

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Inisiatif-inisiatif yang diumumkan di bawah Pemerkasa Plus dijangka dapat memberikan sokongan kepada rakyat yang memerlukan, sekurang-kurangnya dengan menampung sebahagian daripada perbelanjaan asas mereka ketika waktu mencabar ini.

 

Firma penyelidikan, MIDF Research menyifatkan pakej rangsangan ketujuh itu pada dasarnya boleh dikategorikan kepada dua perkara iaitu pro-penggunaan dan pro-perniagaan.

 

“Tambahan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) untuk isi rumah dan orang bujang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, lanjutan moratorium pinjaman buat B40 dan individu terjejas selain lanjutan program subsidi upah (PSU) selama sebulan bagi sektor ekonomi terjejas merupakan inisiatif pro-penggunaan yang digariskan di bawah pakej berkenaan,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajiannya hari ini.

 

Lewat malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan bantuan tambahan, lanjutan daripada Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) berjumlah RM40 bilion, seiring penguatkuasaan ‘total lockdown’ di dalam negara bermula hari ini hingga 14 Jun 2021. 

 

Bagi MIDF, kebanyakan inisiatif yang diumumkan berada dalam jangkaan firma penyelidikan itu, yang secara umumnya bertujuan menyediakan bantuan bersasar kepada rakyat dan perniagaan yang menerima impak secara langsung daripada pelaksanaan ‘lockdown’.

 

Mengulas mengenai bantuan yang diberikan kepada sektor perniagaan, MIDF menekankan bahawa inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan kepada program rangsangan yang ditawarkan sebelum ini. 

 

Namun, firma penyelidikan itu tidak menolak kemungkinan bahawa sektor perniagaan tidak penting akan terjejas akibat penutupan sementara, manakala perniagaan-perniagaan lain bakal berdepan pendapatan yang menyusut kerana permintaan berkurangan. 

 

“Dalam pada itu, terdapat tambahan peruntukan bagi geran khas dan pembiayaan mikro kredit (untuk modal kerja) di mana diperuntukkan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro. 

 

“Sementara langkah-langkah ini dapat membantu perniagaan mempertahankan operasi mereka dan mengurangkan beban aliran tunai, inisiatif seperti PSU akan mengehadkan peningkatan pemberhentian pekerja dalam tempoh ‘lockdown’,” jelas MIDF lanjut.

 

Baca : Pemerkasa Plus umum moratorium segera hingga RM30 bilion

 

Setelah mengambil kira pelaksanaan Pemerkasa dan Pemerkasa Plus bagi tahun ini, MIDF mengunjurkan defisit fiskal kerajaan sekitar 6.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021. 

 

Nisbah itu juga menggambarkan semak turun unjuran KDNK oleh MIDF baru-baru ini, iaitu daripada 6.2% kepada 4.6% susulan pelaksanaan 'lockdown'.

 

Walau bagaimanapun, MIDF tidak menafikan perbelanjaan fiskal yang lebih tinggi diperlukan ketika ini untuk memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara dan mengurangkan impak 'lockdown' ke atas ekonomi walaupun Malaysia menyaksikan ruang fiskal terhad. 

 

Disebabkan itu, firma penyelidikan berkenaan berpendapat penyatuan fiskal boleh dilaksanakan kemudian selepas pandemik terkawal dan pemulihan ekonomi lebih stabil serta mampan.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research melihat situasi semasa meletakkan kerajaan ‘tersepit’ antara membendung gelombang jangkitan COVID-19 dan langkah untuk menahan fiskal, dengan jangkaan defisit perbelanjaan mungkin melepasi 6% daripada KDNK. 

 

“Perdana Menteri mendedahkan bahawa RM65 bilion Dana COVID-19 telah diluluskan pada tahun lalu, sebanyak RM38 bilion telah dibelanjakan, dengan RM17 bilion lagi diperuntukkan untuk perbelanjaan pemindahan wang tunai, subsidi rumah tangga dan upah, insentif pengekalan pekerjaan atau pengambilan pekerja, dan kerja-kerja infrastruktur skala kecil.

 

“Kami menjangkakan enam minggu fasa pertama dan kedua 'lockdown' akan menurunkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun 2021 kepada 4.4% daripada 5.7% sebelum ini. 

 

“Setiap dua minggu fasa pertama yang berlalu akan mengikis 0.9% lagi, maka, ini merupakan pertaruhan tinggi untuk Malaysia memastikan 'lockdown' sepenuhnya ini yang terakhir, sambil mempercepatkan vaksinasi,” tambah firma penyelidikan itu lagi.

 

CGS-CIMB menjangkakan Bank Negara malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), terutama sekiranya peralihan kepada fasa kedua mengikut perancangan dalam masa dua minggu lagi. - DagangNews.com