Pendapatan myNEWS dijangka kembali pulih menjelang FY23 didorong pengembangan jenama CU | DagangNews Skip to main content

Pendapatan myNEWS dijangka kembali pulih menjelang FY23 didorong pengembangan jenama CU

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April - Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) menjangkakan pendapatan Mynews Holdings Berhad akan kembali pulih pada FY23 selain terus mencatatkan perkembangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan itu didorong pengembangan jenama CU yang akan meningkatkan penggunaan pusat pemprosesan makanan (FPC) bagi melancarkan produk baharu bagi meluaskan pasaran.

 

"Berikutan langkah negara ke fasa endemik sejak 1 April, kami mendapati pemulihan kehadiran pelangaan sangat menggalakkan.

 

"Kami berpendapat bahawa persekitaran perniagaan semasa akan memberikan rangsangan kepada mereka selepas ketiadaan sekatan pergerakan, cawangan kedai mereka dibenarkan beroperasi 24 jam selain kebenaran untuk aktiviti sosial pada waktu malam yang akan membantu memberi kesan kepada operasi MyNews," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma itu berkata, jenama CU memberi fokus kepada segmen makanan segar serta produk kecantikan dan barangan daripada Korea Selatan.

 

Katanya, ia dijangka memberi kelebihan kepada mereka untuk meneroka pasaran khusus kerana kebanyakan restoran dan platform penghantaran memiliki alternatif yang terhad untuk makanan Korea yang segar.

 

"Dengan 65% pilihan tertumpu kepada makanan segar, kami menjangkakan ia menjadi penyumbang utama kerana segmen makanan segar menyediakan margin keuntungan lebih besar berbanding produk lain," katanya.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang sasaran untuk MyNews tetapi mentepkan harga sasaran sebanyak RM0.81. - DagangNews.com