KUALA LUMPUR 30 Sept - Dianggap sebagai 'bajet pilihan raya', pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini dijangka menyaksikan lebih banyak khabar gembira untuk rakyat bakal diumumkan kerajaan berbanding belanjawan sebelum ini, demikian menurut CGS-CIMB Research.
Firma itu menjangkakan lebih banyak sokongan akan diberikan kepada pelbagai peringkat masyarakat, walaupun langkah-langkah itu mungkin sedikit mengecewakan.
Ini kerana kebimbangan terhadap kemelesetan global mungkin memberi kesan kepada pengumuman menggembirakan itu ekoran pembaharuan subsidi bahan api yang akan dilaksanakan dan ketidaktentuan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Malah, ia tidak menolak kemungkinan Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat jika rang undang-undang tidak diluluskan apabila Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya.
"Tetapi, insiden ini hanya berlaku sekali sebelum ini pada 1999 – Bajet 2000 dibentangkan pada 29 Oktober 1999, selepas itu Parlimen dibubarkan pada 11 November 1999 dan PRU-10 diadakan pada 29 November 1999.
"Kemudiannya, bajet baharu yang serupa dengan yang dibentangkan pada Oktober 1999 telah dibentangkan semula pada 25 Februari 2000," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat depan adalah tiga minggu lebih awal berbanding yang dijadualkan sebelum ini.
Berbanding keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik dan keperluan untuk membina semula daya tahan fiskal, terdapat kecenderungan yang kukuh untuk fiskal yang berhemat.
Dengan kemungkinan pilihan raya umum akan datang dan kesan kelembapan global boleh memberikan dorongan fiskal yang positif terhadap bajet kali ini.
Berbanding dua objektif ini, CGS-CIMB percaya kerajaan boleh menyasarkan defisit fiskal sebanyak 4.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan berbanding 5.5% tahun ini.
Menurutnya, hasil fiskal dijangka berkembang sederhana sebanyak 1% tahun ke tahun atau RM281.3 bilion pada 2023, lebih rendah daripada 19.2% yang diunjurkan tahun ini.
Katanya, rangsangan kepada aliran pendapatan daripada kenaikan harga komoditi serta pemulihan ekonomi yang kukuh mungkin tidak seteguh tahun depan.
"Selain itu, cukai seperti Cukai Makmur yang sudah tamat meninggalkan lubang dalam kutipan, yang perlu diisi. Bagaimanapun, terdapat potensi sumber pendapatan yang lebih luas.
"Meskipun, cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak dibincangkan (berikutan menjelang PRU-15), tetapi ia masih menjadi keutamaan kepada kerajaan baharu," jelasnya.
Dari segi perbelanjaan, firma itu melihat berlaku pengurangan dalam dua arah iaitu dana COVID-19 sebanyak RM23 bilion dan komitmen subsidi yang lebih rendah di tengah-tengah penurunan harga komoditi, antaranya melaksanakan subsisi bahan api bersasar.
Menurutnya, pembaharuan subsidi bahan api masih lagi samar-samar dari segi kuantum, mekanisme dan garis masa pelaksanaannya
"Tetapi, penerimaan teknologi baharu, seperti aplikasi telefon, nampaknya munasabah memandangkan perkembangan terkini mekanisme sedemikian oleh pemain tempatan.
"Sebagai contoh, Pertamina Indonesia telah melancarkan program beta menggunakan aplikasi telefon dan kod QR dalam pengedaran bahan api bersubsidi, menunjukkan kemungkinan Malaysia akan mengikuti jejak yang sama," katanya.
CGS-CIMB berkata, berdasarkan harga minyak mentah Brent pada purata AS$90 setong dengan ringgit berlegar pada RM4.50, kerajaan hanya menanggung kos RON95 sebanyak RM19.2 bilion pada 2023, dengan menjangkakan harga runcit tidak berubah pada RM1.205 seliter.
Katanya, jika akses kepada subsidi untuk T20 telah dikeluarkan pada Januari 2023 dan seterusnya, ia secara tidak langsung mengurangkan penggunaan RON95 bersubsidi sebanyak 54%, subsidi untuk tahun tersebut akan dikurangkan kepada RM8.8 bilion (atau RM10.4 bilion penjimatan).
"Jumlah penjimatan ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk mengalihkan lebih banyak sumber untuk menyokong segmen penduduk yang terdedah, termasuk 40% terbawah (B40), warga emas atau orang kurang upaya.
"Pemberian tunai pula berkemungkinan akan melihat peningkatan kedalaman dan skop untuk mengatasi kenaikan kos daripada penyingkiran subsidi," jelasnya.
Bajet 2023 juga akan menyaksikan kerajaan memikul cabaran baharu untuk memastikan persaraan rakyat Malaysia kembali diperkukuhkan setelah beberapa kali pengeluaran pada tahun lalu bagi membantu menangani impak pandemik COVID-19.
Menurut firma itu, antara yang boleh ditambahbaik daripada Bajet 2022, termasuklah meningkatkan bahagian sumbangan daripada majikan dan pekerja untuk peringkat umur tertentu terutamanya pencarum yang mempunyai baki simpanan rendah.
"Kerajaan juga boleh menyediakan 'tambahan' tunai kepada ahli di bawah ambang pendapatan tertentu secara sekali sahaja atau secara tetap dan mempertingkatkan Skim Saraan Bercagar dengan meliputi lebih banyak bidang dan meluaskan kriteria," katanya. - DagangNews.com