Pengeluar produk berasaskan kelapa sawit digalak pamer logo MSPO pada bungkusan | DagangNews Skip to main content

Pengeluar produk berasaskan kelapa sawit digalak pamer logo MSPO pada bungkusan

SHAH ALAM 22 Sept. - Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) menggalakkan lebih banyak syarikat yang menghasilkan produk berasaskan kelapa sawit mempamerkan logo Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada bungkusan mereka.

Pengerusi MPOCC, Mukhtar Suhaili berkata buat masa ini, hanya dua syarikat sahaja yang mempamerkan logo berkenaan pada bungkusan produk mereka.

Katanya, dengan mempamerkan logo MSPO pada bungkusan, ia akan memberi maklumat kepada pengguna bahawa kelapa sawit yang digunakan mempunyai sijil diiktiraf dan sekaligus meningkatkan keyakinan pembeli untuk menggunakan produk berkenaan.
 

Pengerusi MPOCC, Mukhtar Suhaili
Mukhtar Suhaili


"Walaupun syarikat, peladang dan pengilang kelapa sawit diwajibkan mempunyai sijil MSPO tetapi penggunaan logo MSPO pada bungkusan produk tidak diwajibkan.

"Disebabkan itu kita mengalakkan pengeluar produk berasaskan minyak kelapa sawit untuk mempamerkan logo MSPO jika mereka mendapat bekalan daripada syarikat pengeluar minyak kepala sawit yang mempunyai sijil MSPO dan kita sedia membantu mana-mana syarikat yang berminat," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Ibu Pejabat MPOCC di sini hari ini.

Menurut laporan Bernama, perasmian ibu pejabat MPOCC itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPOCC, Chee Jit Seng.

Sementara itu, Mukhtar berkata setakat 31 Ogos lepas, sebanyak 5.08 juta hektar atau 87% daripada 5.9 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit di negara ini telah diiktiraf dan memiliki MSPO.

"Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 92% atau 418 kilang sawit di seluruh negara turut mendapat MSPO," katanya.

Sementara itu, Wee dalam ucapan perasmiannya pada majlis itu berkata kerajaan akan terus menyokong usaha MPOCC dan Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) untuk meluaskan penerimaan dan pengiktirafan MSPO dari dalam dan luar negara.

Katanya, perbincangan secara berterusan perlu dilakukan dengan negara luar supaya mereka mengiktiraf pensijilan MSPO sekaligus pasaran minyak kelapa sawit tempatan dapat diperluaskan. - DagangNews.com