Pengerusi Genting jual syarikat kelab malam Zouk kepada anak | DagangNews Skip to main content

Pengerusi Genting jual syarikat kelab malam Zouk kepada anak

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Pengerusi Kumpulan Genting Berhad (Genting), Tan Sri Lim Kok Thay yang juga pemegang saham tunggal terbesar Genting Hong Kong Ltd (Genting HK) menjual syarikat pengendali kelab malam, Kumpulan Zouk kepada Tulipa Ltd.

Tulipa Ltd merupakan syarikat milik anak lelaki Kok Thay, Lim Keong Hui dan Zouk pula merupakan anak syarikat pengendali pelayaran, Genting HK.

 

Tan Sri Lim Kok Thay
Lim Kok Thay

 

Zouk dijual pada harga HK$79.3 juta dan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan beban aset bukan utama Genting HK selain membantu proses kecairan (liquidity) syarikat pelayaran itu.

Penjualan aset itu berkuatkuasa 4 September atau tarikh lain yang dipersetujui dan dijangka menawarkan keuntungan sehingga HK$6.7 juta kepada Genting HK yang akan digunakan sebagai modal bekerja. 

“Pada permulaan wabak COVID-19, kumpulan syarikat telah mengambil tindakan pantas untuk mengurangkan perbelanjaan secara agresif dan menjimatkan wang tunai bagi menurunkan kadar penggunaan aliran tunai kami.

Kami meneruskan usaha untuk menjimatkan wang tunai dan mencari sumber kewangan tambahan, termasuk pelupusan aset bukan utama dan pelaburan, bagi menampung perniagaan sementara menunggu operasi pelayaran disambung semula,” kata Genting HK seperti dipetik theedgemarkets.com.

Setelah proses penjualan aset itu selesai, Zouk akan menjadi anak syarikat secara tidak langsung oleh Genting HK di mana penyata kewangan dan aset syarikat kelab malam itu tidak akan termasuk di dalam penyata kewangan Genting HK. 

 

Lim Keong Hui
                                                     Lim Keong Hui

 

Pada Jumaat lalu, Keong Hui meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Genting HK untuk menumpukan komitmen perniagaan lain. 

Setakat 31 Julai 2020, nilai aset bersih gabungan yang tidak diaudit oleh Zouk bernilai HK $ 72.6 juta. - DagangNews.com