Pengharaman rokok sepenuhnya jejas pendapatan peniaga - Dewan Perniagaan Cina Langkawi | DagangNews Skip to main content

Pengharaman rokok sepenuhnya jejas pendapatan peniaga - Dewan Perniagaan Cina Langkawi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Dewan Perniagaan Cina Langkawi menjangkakan Rang Undang-Undang Tembakau yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri Kesiatan, Khairy Jamaluddin akan memberi kesan buruk kepada pendapatan utama peniaga di kawasan pulau bebas cukai itu.

 

Timbalan Pengerusinya, Ku Chin Loon berkata, peniaga seperti mereka akan mengalami kerugian yang besar sekiranya undang-undang itu diluluskan dan berharap ia akan dipertimbangkan semula keputusan untuk meluluskan undang-undang itu.

 

"Kedatangan pelanggan pasti akan berkurangan dan impaknya menjadi lebih ketara bagi peniaga yang hanya pakar dalam produk tertentu sahaja.

 

"Kebanyakan kita juga baru pulih daripada pandemik COVID-19 dan kini terpaksa berdepan dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan duti eksais ke atas rokok di kawasan bebas cukai.

 

"Pengaharam rokok sepenuhnya akan mengurangkan pendapatan kami untuk jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.

 

Selain itu, pengawalan pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

 

RUU berkenaan turut mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara yang berkaitan.

 

Chin Loon berkata, peruncit di kawasan bebas cukai memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi dan tidak seharusnya diabaikan kerajaan dalam sebarnag urusan.

 

Katanya, perniagaan mereka meningkatkan pelancongan tempatan sambil menarik pelabur domestik dan antarabangsa untuk melabur dalam pelbagai industri dan pada masa sama mewujudkan peluang pekerjaan. 

 

Katanya, kerajaan seharusnya memahami bahawa pelaksanaan dasar perlu disesuaikan kerana setiap negara adalah berbeza. 

 

"Di Malaysia, peratusan rokok haram mencecah hampir 60% berbanding New Zealand yang juga merancang untuk mengenakan undang-undang yang sama.

 

"Undang-undang itu mungkin sesuai digunakan di New Zealand kerana peratusan rokok haram di sana sangat rendah," katanya. - DagangNews.com