Skip to main content

Pengunjung teruja pegang senjata api pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perak 

Maimunah Osman tidak melepaskan peluang mencuba senjata M4 pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah. - Gambar DagangNews.com
oleh ZAKI SALLEH

PASIR SALAK 1 Julai - Ruang pameran Kementerian Pertahanan (MINDEF) antara tempat menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini.

 

Ini kerana pameran senjata api antaranya mesingan GPMG, raifal Colt M4 dan pelancar grenad M203 memikat pengunjung untuk berhenti dan merakam gambar.

 

Maimunah Osman,  59, antara pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk mencuba dan bergambar dengan senjatapi kerana tertarik dengan rekabentuk senjata moden.

 

Kata petugas di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar itu, beliau teruja melihat senjatapi tersebut kerana pernah menjadi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) semasa muda.

 

"Semasa menjadi sukarelawan Rela dulu saya dilatih menggunakan senapang patah, jadi bila lihat senjata moden saya rasa teruja dan bersemangat.

 

"Anak-anak muda patut datang ke pameran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini untuk melihat banyak perkara termasuk pameran ketenteraan," ujarnya.

 

 

Anunitya Devaraju
                                        Anunitya Devaraju

 

 

Sementara itu, penyelaras pameran MINDEF, Anunitya Devaraju, 39, berkata, pihak kementerian tidak pernah ketinggalan untuk turut serta pada setiap kali AKM diadakan dengan matlamat mendekati Keluarga Malaysia.

 

Katanya, seperti pada pameran AKM sebelumnya, penyertaan kali ini turut melibatkan agensi-agensi berkaitan di bawah kementerian tersebut termasuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

 

"Objektif pameran ini memang untuk mendekati orang ramai dan memberi peluang mereka mengetahui pelbagai maklumat tentang kementerian khusus Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

"Pengunjung boleh merasai pengalaman memegang dan bergambar dengan senjatapi yang dipamerkan serta bertanya dengan anggota tentera yang ada.

 

"Selain pameran, kita juga mengadakan promosi pengambilan Askar Wataniah menerusi Rejimen 503 Askar Wataniah negeri Perak," ujarnya.

 

 

AKM
Beberapa pengunjung wanita bertanyakan sesuatu kepada anggota tentera tentang senjata yang dipamerkan di ruang pameran MINDEF.

 

 

Katanya lagi, bagi kaunter JHEV pula, ia memberi peluang kepada golongan veteran ATM untuk menyempurnakan pelbagai urusan termasuk pendaftaran dan membuat kad keahlian veteran.

 

"Kita sangat mengalu-alukan kunjungan para veteran negeri Perak serta negeri sekitarnya dan juga keluarga mereka untuk menyempurnakan sebarang urusan berkaitan.

 

 

AKM
Gerai pameran MINDEF antara yang memikat pengunjung untuk singgah pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah.

 

 

"Menerusi pameran dan kaunter JHEV ini juga kita ingin  memudahkan urusan para veteran tentera mendapatkan maklumat lanjut termasuk meneroka peluang keusahawanan," ujarnya. - DagangNews.com