Skip to main content

Penting untuk miliki kemahiran papan kekunci

Oleh KHALIJAH MOHD NOR dan SYAHRINA HAYATI MD JANI                                

 

 

KEMAHIRAN papan kekunci yang dikenali sebagai ketik sentuhan ialah menaip tanpa melihat papan kekunci.  

 

Kemahiran papan kekunci diperlukan bukan hanya untuk menggunakan perisian pemprosesan data tetapi juga untuk menggunakan perisian pangkalan data, pencarian maklumat, mengirim e-mel, dan menghantar komunikasi pesanan segera. 

 

Kemahiran ini merupakan pengetahuan asas bagi individu sama ada pelajar sekolah, pelajar di institusi pengajian tinggi, dan pekerja di dalam organisasi.  Mereka kerap melakukan pekerjaan atau aktiviti pembelajaran dengan menggunakan komputer riba atau komputer peribadi mereka.  

 

Namun begitu, penggunaan komputer peribadi atau komputer riba secara kerap dan berlebihan boleh menyebabkan sakit otot dan sendi, sakit lengan, pergelangan tangan dan bahu, dan juga sakit mata.  

 

Oleh itu, pekerjaan hari ini memerlukan kemahiran papan kekunci dan asas komputer yang baik.  Individu yang mempunyai kemahiran papan kekunci dapat memiliki peluang yang sangat baik apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak. 

 

Individu yang berhasrat untuk memohon jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran atau pengurusan pejabat perlu mempunyai kebolehan menggunakan komputer dengan cekap, dan pengetahuan yang mendalam untuk sesuatu perisian.  

 

Waima skop tugasan seorang juruteknik, mereka perlu menyediakan laporan mengenai tugas yang dilaksanakan.  Oleh itu, pengetahuan dan kebolehan dalam mengendalikan komputer dan perisian yang tertentu amatlah penting untuk memastikan tugasan dapat diselesaikan dengan sempurna.

 

Dalam era globalisasi ini, masyarakat sentiasa didedahkan dengan pelbagai peranti yang mudah didapati di pasaran.  Namun begitu, walaupun teknologi telah berkembang dengan pesat, masih lagi terdapat sebilangan masyarakat yang belum memahami cara penggunaan peranti dengan betul. 

 

Selain itu, langkah-langkah keselamatan perlu diutamakan dan memahami tetapan tertentu bagi mengelakkan daripada mengalami masalah kesihatan.

 

Apakah kelebihan mempunyai kemahiran menaip secara pantas dan tepat?  Berikut adalah beberapa kelebihan individu yang mempelajari dan berjaya menguasai kemahiran ini.

 

  1. Meningkatkan kepantasan menaip

Ini merupakan manfaat utama yang diperoleh dan matlamat paling jelas untuk belajar kemahiran papan kekunci.  Individu yang menaip secara ketik sentuh ini dengan mudah dapat mencapai kelajuan menaip melebihi 75-80 perkataan seminit, sementara individu yang tidak terlatih sudah pasti kurang daripada itu.  

 

Ini berdasarkan fakta bahawa individu yang berjaya mencapai kelajuan tersebut dapat menaip tanpa melihat papan kekunci.  Mereka bukan sahaja lebih cekap, malah lebih mudah untuk fokus apabila melaksanakan sesuatu tugasan kerana proses kerja yang lebih terkawal dan sistematik.

 

  1. Memperoleh ketepatan menaip

Salah satu perkara yang paling penting untuk dipelajari ialah menaip dengan tepat.  Ini boleh meningkatkan keyakinan individu terhadap dokumen yang dihasilkan memandangkan mereka boleh menjangkakan hasil tugasan yang ditaip adalah dengan ejaan dan format yang tepat.

 

Ketepatan menaip pasti tidak boleh diperolehi dengan mudah tanpa usaha dan kesungguhan yang tinggi.  Sebagai langkah permulaan, mulakan menaip secara perlahan-lahan sambil mengingat kedudukan huruf pada papan kekunci. 

 

Kaedah ini adalah yang terbaik untuk belajar menaip dengan pantas dan tepat.  Tujuannya ialah untuk meningkatkan kebolehan saraf motor untuk mengingat kedudukan sesuatu kekunci.  Sudah pasti untuk menaip dengan pantas dan tepat, memerlukan latihan yang kerap dan konsisten.

 

  1. Menjimatkan masa

Sekiranya kelajuan menaip ditingkatkan daripada 30 perkataan seminit sehingga 60 perkataan seminit, maka separuh masa yang diperlukan untuk melakukan kerja yang sama berjaya dikurangkan.  

 

Sebagai contoh, menaip dengan hanya menggunakan dua jari boleh mencapai kelajuan dengan 10 perkataan seminit ataupun 170 perkataan dalam masa 17 minit.  Sebaliknya, individu yang mempunyai kemahiran papan kekunci, dapat menaip sekitar 60 perkataan seminit ataupun boleh menaip bahagian yang sama dalam tempoh masa 4 minit.  Oleh itu, terbukti bahawa individu yang memiliki kemahiran papan kekunci ini dapat menjimatkan sekitar 20% hingga 35% masa mereka di hadapan komputer.

 

  1. Mengelakkan keletihan

Aktiviti menaip secara berterusan dalam jangka masa panjang, ianya akan memberikan kesan keletihan secara psikologi dan fizikal seseorang individu itu.  Kedudukan postur yang betul semasa menaip dapat membantu mengurangkan keletihan mental dan fizikal. 

 

Secara mental, ia membantu individu untuk fokus apabila sedang menaip iaitu memandang kepada dokumen tanpa melihat papan kekunci.  Perkara yang perlu diberikan perhatian ialah hasil kerja itu nanti. 

 

Secara fizikal, individu yang melakukan aktiviti menaip tidak perlu terus menundukkan kepala ke papan kekunci untuk mencari beberapa kekunci seterusnya.  Sebaliknya, tubuh badan akan kekal berada pada postur yang betul dan selesa sehinggalah tugasan selesai.

 

  1. Kesihatan lebih terjamin

Secara keseluruhan, menaip melalui cara yang betul akan memberi manfaat untuk kesihatan individu.  Pekerjaan dapat dilakukan dengan postur yang betul, tenang kerana tidak perlu melihat kekunci secara kerap, dan menggunakan semua jari dengan betul untuk mengurangkan risiko kecederaan tekanan berulang (repetitive stress injuries-RSI). 

 

  1. Meningkatkan produktiviti kerja

Individu yang memiliki kemahiran papan kekunci yang baik akan menjadi lebih produktif ketika berada di tempat kerja malah mereka yang menguasai kemahiran ini juga mempunyai keyakinan yang tinggi. 

 

Ini kerana sesuatu tugasan dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat dengan kesalahan yang minimum atau tiada kesalahan langsung.  Hasilnya, lebihan waktu yang ada dapat digunakan untuk menyelesaikan tugas tambahan yang diberikan oleh penyelia atau pensyarah. 

 

Hakikatnya, kemahiran papan kekunci ini boleh dibanggakan dan dikehendaki oleh kebanyakan industri.  Kemahiran papan kekunci sangat berharga kerana dapat digunakan sepanjang hayat individu dan boleh dimiliki oleh semua orang.

 

keyboard

 

Kemahiran papan kekunci merupakan kemahiran yang membolehkan individu kelihatan lebih profesional sewaktu bekerja.  Mereka memberikan tanggapan yang baik kepada orang lain apabila mereka dapat menaip dengan tenang, selesa dan mudah.

 

Menurut Weerderberg (2018), daripada Journal of Computer Assisted Learning, kemahiran menaip sangat penting untuk menjamin kualiti teks yang ditaip.  

 

Dengan meningkatkan kemahiran menaip boleh mempengaruhi kemahiran mengeja dan menulis secara naratif menggunakan komputer.  Hanya pakar yang memahami asas dan teknik kemahiran menaip boleh mengajar kemahiran ini.  

 

Pelajar dan bakal pelajar yang merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi perlu mempertimbangkan untuk mempelajari kemahiran papan kekunci. 

 

Ini kerana kemahiran ini sangat penting untuk membantu dalam menyelesaikan tugas yang diberikan oleh pensyarah agar dapat dihantar tepat pada waktunya.  Oleh itu, kemahiran sepanjang hayat ini perlu dipelajari dan dikuasai kerana ia memberi banyak manfaat selain membantu mengekalkan kesihatan yang baik. DagangNews.com

 

 

Khalijah Mohd Nor dan Syahrina Hayati Md Jani merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Melaka