KUALA LUMPUR 4 Julai - Perdana Petroleum Bhd. menerima lanjutan kontrak daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) bernilai RM8.4 juta untuk penyediaan sebuah kapal tunda dan bekalan (AHTS) bagi pengendalian kapal sauh tunggal.
Menurutnya, anak syarikat milik penuhnya, Perdana Nautika Sdn. Bhd. telah menerima arahan lanjutan kerja pada 14 Jun lalu.
Kontrak awal bermula dari 4 Ogos 2021 hingga 14 Jun 2022. Lanjutan pula adalah untuk tempoh 169 hari dengan pilihan tambahan 30 hari bermula 15 Jun 2022.
"Perdana Nautika perlu menyediakan kapal AHTS dengan krew dan peralatan untuk melaksanakan perkhidmatan 24 jam untuk membantu dan/atau servis pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tongkang, menunda dan kerja berlabuh," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Kontrak tersebut adalah yang ketiga diumumkan Perdana Petroleum pada tahun ini, dan kedua bagi Petronas Carigali.
Pada 14 Februari lalu, ia memperoleh kontrak bagi penawaran 3 kapal AHTS daripada Petronas Carigali bernilai RM9.6 juta.
Sementara itu, pada April lalu, kumpulan memperoleh arahan kerja untuk penyediaan satu kapal tongkang kerja penginapan (AWB) daripada Vantage Well Services Sdn Bhd pada harga RM5.49 juta.
Perdana Petroleum berkata, kontrak tersebut dijangka menyumbang kepada hasil dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
"Ia tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan dalam kumpulan," katanya. - DagangNews.com