Perodua Myvi, Axia, Beza paling laris di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Perodua Myvi, Axia, Beza paling laris di Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

SHAH ALAM 5 Ogos - Perodua mendaftarkan 23,203 kenderaan pada Julai 2020, mengatasi Jun sebagai bulan jualan tertinggi setakat tahun ini sebanyak 9.2%, dan meningkatkan jumlah jualannya setakat tahun ini (YTD) kepada 97,373 unit.

Pengeluar kenderaan tersebut menganggarkan penguasaan pasaran Julai dan YTD sebanyak 40% dan 42% masing-masing, diterajui Myvi dengan jualan 29,313 unit, Axia (28,107) dan Bezza (25,416), yang menduduki tiga tempat teratas dari segi jualan YTD di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua Myvi, kenderaan terlaris di Malaysia setiap tahun sejak 2006, baru-baru ini telah dinaik taraf dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 terkini. Ia kekal menjadi antara kenderaan dengan ciri keselamatan canggih yang paling mampu milik di negara ini.
 

p2
                                                                               Zainal Abidin Ahmad

 

“Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami telah membangkit kembali dengan cepat, didorong pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun.

“Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini,” tambahnya.

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.

“Di sebalik krisis COVID-19 ini, kami menyedari bahawa kami harus bekerja pada kapasiti penuh untuk membantu ekonomi Malaysia dan melindungi pekerjaan.

“Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua adalah untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk memaksimumkan kepuasan pelanggan. Kami komited untuk terus menawarkan nilai yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dari segi harga yang berpatutan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri canggih yang terbaharu.

Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan komponen tempatan lebih 90% dan disebabkan skala ekonominya, alat ganti servis ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mudah didapati, memberikan para pelanggannya ketenangan minda yang menyeluruh.

Zainal berkata, Perodua mengamalkan konsep Simple, Slim and Compact dalam semua operasinya, merangkumi interaksi dengan semua pihak berkepentingan, di samping sentiasa mengutamakan insan. - DagangNews.com