KUALA LUMPUR 15 Julai - Kenanga Research menyemak turun harga sasaran (TP) Bursa Malaysia Bhd. kepada RM6.30 daripada RM7.05 sebelum ini, dengan penarafan 'market perform' dikekalkan.
Firma itu turut mengurangkan anggaran nilai purata harian (ADV) kepada RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding anggaran sebelum ini, RM2.7 bilion.
Malah, ADV bagi FY23 juga dikurangkan kepada RM2.1 bilion berbanding unjuran awal sebanyak RM2.6 bilion.
"Persekitaran makroekonomi global kekal tidak menggalakkan dengan inflasi Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini meningkat kepada 9.1% setakat Jun 2022.
"Namun, di peringkat domestik, kami mengharapkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik secara berturutan daripada ekonomi yang dibuka semula, kebimbangan kemelesetan mungkin menghalang penyertaan asing," katanya dalam nota kajian hari ini.
Untung bersih Bursa Malaysia merosot 44% kepada RM68 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM121.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Penurunan itu disebabkan hasil operasi yang lebih rendah pada suku berkenaan, susut 29.4% kepada RM161 juta berbanding RM228 juta bagi tempoh sama 2021, berikutan pengurangan hasil dagangan sekuriti.
Pendapatan bagi tempoh itu juga susut kepada RM165.3 juta daripada RM232.28 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
ADV sekuriti yang kembali normal kepada paras sebelum pandemik menyumbang kepada penurunan keuntungan pada suku pertama 2022 berbanding tempoh sama 2021.
Menurut Kenanga Research, volum dagangan akan kekal tertekan kerana pelabur diketepikan oleh makroekonomi global yang tidak memberangsangkan dan sentimen yang lebih perlahan.
"Ini akan mengakibatkan anggaran hasil kami terjejas kira-kira -13% bagi FY22 manakala -10% bagi FY23.
"Pemangkin positif hanya dapat disaksikan dalam tempoh sederhana," katanya.
Firma itu juga mendapati kemungkingan pelabur runcit secara progresif berundur ke arah pelaburan jangka panjang dan produk simpanan yang lebih selamat kerana Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) dengan jangkaan 2 lagi kenaikan 25 mata asas. - DagangNews.com