PKS, perusahaan mikro terima Geran Khas Prihatin RM1,000 hari ini | DagangNews Skip to main content

PKS, perusahaan mikro terima Geran Khas Prihatin RM1,000 hari ini

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Sebanyak RM1,000 bantuan menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 disalurkan kepada lebih sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro hari ini. 

 

Ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak hampir RM1 bilion, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

 

Ujarnya, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan sudah boleh dibuat mulai 8 Jun lalu di pautan https://gkp.hasil.gov.my.

 

"Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang diumumkan pada 17 Mac lalu, kerajaan memutuskan pemberian GKP 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih sejuta peniaga mikro untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.

 

"Pada 31 Mei lalu, melalui program Pemerkasa Plus, kerajaan mengumumkan komitmen yang sama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di mana jumlah tambahan sebanyak RM500 akan dibuat, menaikkan jumlah bayaran kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro.

 

"Ini bermakna, jumlah bayaran GKP 3.0 adalah sebanyak RM1.5 bilion," katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-56, yang dikeluarkan hari ini.

 

Katanya lagi, bayaran tambahan sebanyak RM500, membabitkan peruntukan hampir RM500 juta, di mana bakal dibayar pada Julai depan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan di bawah GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion.

 

Menurut beliau, jumlah peruntukan yang sudah dan akan diberikan kerajaan kepada golongan tersebut sejak pandemik COVID-19 melanda negara bernilai RM5.08 bilion.

 

Ini bertujuan meringankan beban kewangan mereka terutamanya yang terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 dan sekatan pergerakan penuh ketika ini, jelas beliau lanjut. - DagangNews.com