Projek kediaman Tresna Teruntum Glomac siap mengikut jadual | DagangNews Skip to main content

Projek kediaman Tresna Teruntum Glomac siap mengikut jadual

 

KUALA LUMPUR 1 Mei - Sempena bulan Ramadan, pelanggan-pelanggan Glomac telah menerima kunci rumah Tresna Teruntum yang mereka beli yang telah siap pada masanya mengikut jangkaan meskipun pandemik COVID-19 masih melanda negara.

 

Acara penyerahan kunci yang pertama telah diadakan pada 27 Mac lepas di unit-unit rumah Tresna Teruntum setelah pemeriksaan rumah dijalankan oleh  Pengurus Kanan Projek (Saujana Perdana) Glomac, Tengku Ahmad Izzat bersama dengan pemilik-pemilik rumah yang menerima kunci rumah mereka pada hari tersebut.

 

Menurut Tengku Ahmad Izzat, Tresna Teruntum telah dilancarkan pada tahun 2018, dan telah laris terjual dalam masa tiga minggu selepas pelancarannya. Lokasi strategik dan harga mampu milik yang ditawarkan merupakan beberapa faktor utama kelarisan projek ini.

 

“Pandemik COVID-19 yang melanda negara pada tahun 2020 tidak dinafikan telah memberi impak kepada ramai pihak, namun sokongan dan kepercayaan pihak pembeli telah memainkan peranan yang besar sebagai pembakar semangat pasukan Glomac dalam memastikan rumah-rumah tersebut siap pada tarikh yang disasarkan. Terima kasih dan tahniah kepada semua pembeli,” ujarnya.

 

Tresna Teruntum adalah salah satu daripada siri rumah Tresna yang terletak di atas tanah berkeluasan 19 ekar di perbandaran Saujana Perdana dengan nilai pembangunan kasar (NPK) berjumlah RM102.7 juta.

 

Tresna Teruntum terdiri daripada 186 unit rumah teres dua tingkat, dengan setiap rumah berkeluasan 1,752 kaki persegi untuk unit tengah dan 1,782 kaki persegi untuk unit tepi.

 

glomac
Penyerahan kunci rumah oleh Tengku Ahmad Izzat (dua dari kanan) kepada seorang daripada pembeli rumah Glomac di Saujana Perdana, Sungai Buloh, baru-baru ini.

 

Saujana Perdana adalah sebahagian daripada perbandaran terancang Glomac, Bandar Saujana Utama, yang telah berkembang pesat sejak tahun 1995. Kini, ia lengkap dengan pelbagai utiliti seperti institusi pengajian dan sekolah, taman rekreasi, tempat beribadat, kemudahan kesihatan, restoran, serta kedai-kedai barangan runcit dan harian.

 

Ketua Pegawai Operasi (Operasi) Glomac, Zulkifly Garib berkata, pemeriksaan rumah dan penyerahan kunci Tresna Teruntum akan berlangsung sehingga semua pembeli rumah Tresna Teruntum mendapat kunci rumah mereka, dan dijangka selesai pada hujung Mei 2021.

 

Selain Tresna Teruntum, pembinaan pembangunan bertingkat tinggi Glomac yang terletak di Petaling Jaya - Damansara, iaitu Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences juga berada dalam landasan dengan jangkaan siap dalam tahun 2022 dan 2024. - DagangNews.com