PublicInvest Research semak semula harga unjuran MSM kepada RM4,000 per tan | DagangNews Skip to main content

PublicInvest Research semak semula harga unjuran MSM kepada RM4,000 per tan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Nov - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengukuh daripada paras RM3,200 per tan kepada RM4,000 per tan dipacu oleh prestasi semasa untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

 

PublicInvest Research berkata, untuk tahun 2022, pihaknya mengunjurkan kenaikkan harga MSM daripada RM2,700 per tan kepada RM3,500.

 

"Kami berpendapat momentum harga MSM semasa akan mampan sehingga suku pertama 2022. 

 

"Selepas itu, harga MSM akan berkurangan kerana kami menjangkakan pengeluaran meningkat memandangkan penangguhan yang dilihat mengenai isu kekurangan pekerja asing di Malaysia," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambah firma tersebut, Walaupun kenaikan harga MSM berterusan sepanjang setahun yang lepas, kaunter perladangan tidak begitu gembira kerana hanya empat kaunter di bawah liputannya iaitu FGV, Sarawak Plantation, TSH dan Ta Ann merekodkan keuntungan sederhana.

 

"Harga MSM telah mencecah paras tertinggi sepanjang masa RM5,363 per tan dan menyaksikan kenaikan lebih 42% manakala Indeks Perladangan KLCI susut 3.8%.

 

"Kami percaya sebab utama prestasi harga saham yang tidak memberangsangkan mungkin disebabkan oleh diskaun ESG yang tinggi yang dilampirkan pada penilaian perladangan," katanya.

 

Dalam pada itu PublicInvest Research  berkata, kebanyakan syarikat perladangan telah mengalami kekurangan pekerja yang teruk sejak dua tahun lepas berikutan penutupan sempadan antarabangsa semasa tempoh pandemik. 

 

"Namun secara positif, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi baru-baru ini telah meluluskan 32,000 pekerja ladang asing, yang telah menerima vaksin COVID-19 untuk dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat mulai pertengahan Oktober. 

 

"Kami berpendapat kesan tambahan 32,000 pekerja asing terhadap industri minyak sawit akan dirasai pada penghujung suku pertama 2022, yang berpotensi menghasilkan pemulihan tanaman, kitaran penuaian dan hasil MSM yang lebih baik," katanya. 

 

Pihaknya mengekalkan panggilan Neutral terhadap sektor komoditi itu. -DagangNews.Com