Purata gaji 2021 dijangka meningkat 4.5% | DagangNews Skip to main content

Purata gaji 2021 dijangka meningkat 4.5%

Purata gaji

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Purata gaji di negara ini dijangka meningkat sebanyak 4.5% untuk tahun 2021.

Menurut Tinjauan Jumlah Imbuhan (TRS) yang dijalankan oleh firma perundingan kekayaan dan kerjaya, Mercer, jangkaan itu adalah lebih rendah berbanding ramalan awal yang dibuat pada separuh pertama 2020.

"Syarikat Malaysia diramalkan akan menikmati kenaikan gaji sebanyak 5.0% berdasarkan tinjauan pada separuh pertama 2020.

"Namun, tinjauan terbaharu menunjukkan jangkaan itu menurun kepada 4.5%.

"Penurunan jangkaan itu juga didorong ramalan pembekuan kenaikan gaji oleh 14 % syarikat di negara ini," jelas Mercer seperti dilapor Berita Harian.

Laporan terbaharu TRS 2020 itu melibatkan dapatan daripada 529 buah syarikat yang dijalankan secara tahunan.

Tinjauan itu juga dimulakan antara bulan April hingga Jun 2020.

Dalam pada itu, tinjauan susulan turut digerakkan pada Julai dan Ogos akibat daripada perubahan pesat persekitaran pasaran semasa.

Sementara itu, tinjauan berkenaan turut mendapati purata gaji di Malaysia meningkat 4.7% di sebalik cabaran pandemik COVID-19.

"Ini adalah kali pertama dalam tempoh empat tahun kenaikan gaji secara keseluruhan telah jatuh di bawah paras 5%.

"Jangkaan kenaikan gaji ini didokong oleh unjuran ekonomi Malaysia yang lemah, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menguncup di antara 3.5% hingga 5.5% pada tahun ini di samping tekanan berterusan terhadap perniagaan untuk mempastikan pengurangan kos di tengah-tengah ketidaktentuan yang disebabkan oleh COVID-19," jelas laporan itu lagi. - DagangNews.com