Ramssol catat hasil RM52.52 juta, meningkat sekali ganda | DagangNews Skip to main content

Ramssol catat hasil RM52.52 juta, meningkat sekali ganda

Tiada angka perbandingan untuk PBT dan PAT bagi tempoh sama sebelumnya kerana Ramssol disenaraikan pada 13 Julai 2021.

CYBERJAYA 26 Feb – Ramssol Group Berhad, penyedia penyelesaian dan teknologi Pengurusan Modal Insan (HCM) tempatan, mencatatkan pendapatan berjumlah RM52.52 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 ( FYE21), naik sekali ganda daripada RM25.33 juta yang diraihnya pada FYE20.

 

Keputusan kewangan tersebut diraih daripada kesinambungan projek serta penyediaan aplikasi teknologi HCM dan penyelesaian pengurusan HCM dan pelajar untuk pelanggan baharu di Malaysia.

 

Syarikat itu merekodkan RM5.84 juta bagi keuntungan sebelum cukai (PBT) dan RM5.79 juta keuntungan selepas cukai (PAT) dalam FYE21.

 

Tiada angka perbandingan untuk PBT dan PAT bagi tempoh sama sebelumnya kerana Ramssol disenaraikan pada 13 Julai 2021.

 

Bagi suku berakhir 31 Disember 2021 (Q4FY21), Syarikat melaporkan pendapatan RM17.83 juta dan merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.42 juta disebabkan perbelanjaan jualan dan pemasaran yang lebih tinggi yang ditanggung untuk pelbagai program.

 

Program tersebut ialah EXCEL (Liabiliti Korporat dan Anti Organisasi -Rancangan Rasuah); perkongsian dengan Impiana Hotels Bhd untuk menyediakan program latihan yang diperakui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp); perjanjian pemasaran dan kerjasama strategik dengan ELMU V Sdn Bhd; perkongsian dengan firma automasi proses robotik kecerdasan buatan (AI-RPA), Laiye untuk teknologi automasi pintar di seluruh Asia Tenggara; dan pengembangan Feet’s and Lark di Asia Tenggara.

 

Berdasarkan pecahan geografi, Malaysia kekal sebagai penyumbang utama dalam Q4FY21 kepada keseluruhan pendapatan Syarikat iaitu pada RM15.53 juta atau 87.15%.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, di sebalik landskap perniagaan yang mencabar ekoran lonjakan jangkitan COVID-19 dan sekatan pergerakan yang dikenakan di seluruh dunia, terdapat juga peluang yang dicipta memandangkan pandemik ini telah mempercepatkan cara bekerja secara jarak jauh, satu trend yang akan memberi manfaat kepada syarikat.
 

 

Cllement Tan Chee Seng
Datuk Cllement Tan Chee Seng


 

"Rangkaian perkhidmatan kami mampu membantu organisasi meningkatkan kemampanan operasi, ketangkasan dan daya tahan melalui pendigitalan kerana banyak perniagaan dan institusi pendidikan meneruskan amalan bekerja dari rumah dan belajar di rumah," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Ramssol akan terus mencari peluang untuk mengukuhkan penyelesaian berkaitan modal insan Syarikat melalui perkongsian dengan pakar kecerdasan buatan Laiye dan ELMU V Sdn Bhd untuk satu siri program latihan yang disediakan untuk tenaga kerja yang perlu meningkatkan kemahiran dan mempromosikan kepentingan liabiliti korporat. – DagangNews.com