Resipi Berani Maggi bantu majukan perniagaan, cetus inspirasi wanita | DagangNews Skip to main content

Resipi Berani Maggi bantu majukan perniagaan, cetus inspirasi wanita

Seramai 12 peserta berentap dalam program rancangan masakan realiti, Resipi Berani Maggi musim kedua.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Sebuah rancangan realiti, Resipi Berani Maggi kembali dengan musim kedua yang akan menampilkan sebanyak 6 episod. 

 

Daripada sejumlah 2,000 orang peserta, seramai 12 wanita telah dipilih untuk meneruskan cabaran siri kulinari dan keusahawanan bagi merebut gelaran sebagai juara. 

 

Antara cabaran utama yang dilalui peserta termasuk penyediaan hidangan istimewa masing-masing dan penciptaan semula masakan asli Malaysia dengan menggunakan ramuan yang unik.

 

Selain cabaran kulinari, para peserta juga perlu memberi tumpuan kepada elemen seperti kemapanan makanan, daya maju perniagaan serta memanfaatkan penghasilan kandungan untuk platform media sosial. 

 

Rancangan realiti ini membawa kembali tiga orang mentor Maggi terkenal, termasuk duta jenama Maggi CukupRasa, Datin Paduka Eina Azman; Pengarah dan penerbit, Sheila Rusly serta Pemilik My Mum’s Bakery, Anne Idris yang akan membimbing 12 peserta sepanjang siri realiti menerusi Sesi Maklum Balas Mentor. 

 

Untuk musim ke-2, siri ini akan menampilkan empat juri jemputan, iaitu Stacy Anam, Betty Rahmad, Aisya J dan Chef Sherson Lian.

 

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, matlamat rancangan realiti Maggi adalah untuk menampilkan perjalanan para peserta dalam memajukan perniagaan makanan mereka. 

 

 

maggi
Tiga mentor Maggi (dari kiri), Sheila Rusly, Datin Paduka Eina Azman dan Anne Idris.

 

 

"Kami berharap rancangan ini dapat memberi inspirasi kepada para wanita untuk memulakan sesuatu yang baharu bagi membawa perubahan positif dan menaiktaraf kehidupan mereka. Kami telah menyaksikan perubahan ketara pada para pemenang musim pertama dan bagaimana mereka mampu memberi inspirasi serta impak kepada kehidupan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain menerima modal benih sebanyak RM8,000, juara Resipi Berani Maggi musim kedua akan turut menjalani program bimbingan peribadi selama 8 minggu bersama ikon usahawan, Anne Idris, memfokuskan pada peningkatan perniagaan makanan, mengurus kecekapan kos dan strategi penjenamaan. 

 

 

maggi

 

 

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima modal benih sebanyak RM5,000.

 

 

maggi

 

 

12 peserta yang berjaya memasuki peringkat akhir rancangan Resipi Berani Maggi musim kedua terdiri daripada para pemilik perniagaan makanan, Anastasia Maigi (Sabah), Kalarani A/P Subramaniam (Putrajaya), Mellony Anak Stephen (Sarawak), Nazrina Zamani (Selangor), Noraslinda Rusli (Selangor), Norli Mohd Azmi (Selangor), Kentila A/P Veerayah (Selangor), Nur Syahidah Aimullah Abdul Rahim (Kedah), Nurul ‘Syaza Shahirah A. Samsuddin (Melaka), Nurul Hajar Ismail (Johor), Rozana Sari Roslan (Pahang) dan Suzaimi Zahari (Terengganu). 

 

Rancangan realiti Resipi Berani Maggi musim kedua akan disiarkan pada setiap hari Jumaat pada pukul 5 petang selama 6 minggu mulai 8 Julai menerusi saluran YouTube MAGGI® (https://www.youtube.com/user/maggimalaysia). - DagangNews.com