RHB Investment mulakan liputan terhadap Farm Fresh dengan saranan 'beli, TP RM1.88 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment mulakan liputan terhadap Farm Fresh dengan saranan 'beli, TP RM1.88

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - RHB Investment Bank Research memulakan liputan terhadap Farm Fresh Berhad dengan sasaran 'beli' pada harga sasaran RM1.88 sesaham.

 

Firma itu berkata, cadangan kumpulan itu untuk menawarkan produk tenusu segar diterima baik dan memacu keuntungan bahagian pasaran yang ketara.

 

Katanya, kumpulan itu sedang memulakan pelan pengembangan untuk meluaskan pegangan pasaran dan ia dijangka memacu pertumbuhan pendapatan yang sangat baik.

 

"Bersama dengan ekuiti jenama, pasukan pengurusan yang cemerlang serta kelayakan amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) yang kukuh, kami percaya kaunter itu layak menerima penilaian premium memandangkan kekurangan stok berkualiti di pasaran tempatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, model perniagaan bersepadu yang dimiliki kumpulan itu memberikan kelebihan daya saing berbanding pesaingnya dengan mengendalikan enam ladang tenusu sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalannya dan mengoptimumkan kos.

 

Katanya, pada masa sama, penggunaan pelbagai saluran pengedaran juga membantu mereka meminimumkan risiko penumpuan.

 

"Model pengedaran Faram Fresh memainkan peranan penting dalam meluaskan jangkauan mereka ke kawasan terpencil tanpa perlu mengeluarkan modal besar untuk pengiklanan dan promosi.

 

"Kumpulan itu juga memberikan faedah sosial menerusi penciptaan rangkaian keusahawanan mikro bertumpukan kepada golongan wanita. 

 

"Kami menetapkan penarafan ESG sebanyak 3.3 kepada Farm Fresh dan menggunakan 6% premium untuk aliran tunai terdiskaun dengan kos purata modal (WACC) 6.4% dan TG 2% daripada RM1.88," katanya. - DagangNews.com