Saham baharu Yenher paling aktif, Serba Dinamik, Pasukhas, Vizione dan Berjaya Corp turut curi tumpuan | DagangNews Skip to main content

Saham baharu Yenher paling aktif, Serba Dinamik, Pasukhas, Vizione dan Berjaya Corp turut curi tumpuan

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Pasaran saham tempatan berjaya dibuka lebih tinggi pada dagangan pagi ini walaupun dalam lonjakan yang kecil sahaja, didorong oleh situasi pandemik semasa di dalam negara. 

 

Setakat 9 pagi, indeks pasaran utama, FBM KLCI menokok 0.21 mata atau 0.01% kepada 1,512.53 daripada paras yang ditutup semalam, 1,512.32.

 

Beralih kepada kaunter paling aktif didagangkan, saham Yenher Holdings Berhad yang baru disenaraikan hari ini berjaya mencuri tumpuan pelabur dengan harga sahamnya melonjak 0.5% kepada RM0.955 ketika dibuka. 

 

Serba Dinamik Holdings Berhad pula masih mengekalkan kedudukannya dalam kaunter paling aktif diniagakan, dengan harga saham syarikat meningkat RM0.010 atau 2.44% kepada RM0.420. 

 

Sementara saham Pasukhas Group Berhad yang menonjolkan prestasi positif sejak beberapa hari kebelakangan ini menyusut RM0.005 atau 2.17% setakat 9.20 pagi kepada 0.225 sen. 

 

Turut mencuri tumpuan pelabur adalah saham Vizione Holdings Berhad, namun merosot 15.63% atau RM0.025 kepada RM0.135, diikuti oleh saham Berjaya Corporation Berhad yang menokok 7.69% atau RM0.020 kepada RM0.28. 

 

Sementara dalam kalangan kaunter untung pula, selepas terpelosot ke kaunter rugi semalam, saham Genetec Technology Berhad berjaya mencatatkan lonjakan terbesar sebanyak RM0.72  kepada RM18.80 setakat 9.25 pagi. 

 

Ini diikuti oleh saham Quality Concrete Holdings Berhad, Transocean Holdings Berhad, Hartalega Holdings Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Dufu Technology Corp Berhad dan Mr DIY Group (M) Berhad.

 

Dalam kalangan kaunter rugi, saham Vitrox Corporation Berhad menyusut RM0.16 kepada RM15.80 diikuti oleh saham Aeon Credit Service (M) Berhad yang merosot RM0.12 kepada RM11.98. 

 

Secara keseluruhannya, dagangan pada pagi ini dibuka agak positif dengan jumlah kaunter untung iaitu 231 mengatasi 169 kaunter rugi. - DagangNews.com