Saham Ni Hsin meningkat susulan cadangan bangunkan teknologi bateri EV dua roda | DagangNews Skip to main content

Saham Ni Hsin meningkat susulan cadangan bangunkan teknologi bateri EV dua roda

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. -  Saham Ni Hsin Group Bhd meningkat sebanyak 14.81% atau 2 sen kepada 15.5 sen pada Rabu selepas pengumuman mengenai kerjasamanya dengan MNA Energy Sdn Bhd (MNAE) bagi membangunkan teknologi bateri untuk kenderaan elektrik (EV) dua roda.

 

Kaunter Ni Hisin merekodkan 21.72 saham bertukar tangan dan merupakan antara kaunter paling aktif di Bursa Malaysia pada pagi ini.

 

Kumpulan itu mengumumkan anak syarikat milik penuhnya Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian induk (HOA) dengan MNAE bagi membangunkan teknologi bateri bagi EV dua rodaserta mengambil bahagian dalam perniagaan dan pertumbuhan MNAE.

 

"Di bawah HOA tersebut, kedua-dua pihak akan melakukan penyelidikan, reka bentuk dan penmbangunan bateri canggih untuk EV dua roda bagi tujuan komersial," katanya.

 

Mereka juga akan mengembangkan ekosistem yang menyediakan infrastruktur pertukaran bateri standard untuk EV dua roda dan bersama-sama mengembangkannya dengan kelulusan dari Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memenuhi program e-rider SmartSwap MNAE.

 

"HOA ini juga adalah untuk memudahkan usaha kumpulan dalam perniagaan e-mobiliti.

 


"Cadangan tersebut akan memberi kelebihan kepada kumpulan untuk membekalkan bateri untuk roda dua EV, disokong oleh penyelesaian untuk infrastruktur pertukaran bateri dan memudahkan pemasaran EV dua roda yang akan dibangunkan kumpulan dengan kerjasama Dongguan Tailing Electric Vehicle Co Ltd," katanya. -DagangNews.com