Skip to main content

Sarawak tubuh jawatankuasa selesaikan isu pengeksport

Sarawak

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan akan segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh pengeksport negeri itu ke Singapura.

 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, jawatankuasa tersebut akan bekerjasama dengan pihak kementerian, agensi dan dewan perniagaan yang berkaitan.

 

"Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS) yang dibentuk oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Ogos tahun lalu telah berusaha untuk mempromosikan Sarawak di Singapura dan lain-lain.

 

atuk Amar Awang Tengah Ali Hassan
Amar Awang Tengah Ali Hassan

 

"Beberapa produk tempatan seperti midin, ikan patin beku, mi Sarawak dan banyak lagi kini dijual di Singapura.

 

"Sejak dilancarkan pada tahun lalu, pihaknya terus membantu pengeluar tempatan untuk mengeksport produk ke Singapura dan lain-lain," jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS), lapor Dayak Daily.

 

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) mengumumkan perkara tersebut dalam satu persidangan maya bersama pihak pengurusan Statos hari ini.

 

Turut hadir dalam persidangan maya itu ialah Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan PKS, Datuk Noraden Majais, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Malcolm Mussen Lamoh dan Setiausaha Tetap Mintred Sarawak, Datu Liaw Soon Eng.

 

Manakala Statos pula diwakili oleh Pengerusi dan Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif, Chew Chang Guan dan Pengurus (Kewangan, Hal Ehwal Korporat, Perladangan dan Pelaburan), Kenny Lau.

 

Mengulas lanjut, Awang Tengah memberitahu, susulan kejayaan Statos, kerajaan Sarawak turut berhasrat untuk membina penjabat sama di Brunei Darussalam dan Pontianak, Indonesia agar dapat menggandakan promosi Sarawak sebagai destinasi pelaburan, perdagangan dan pelancongan. - DagangNews.com