Skip to main content

SC: Awas terjebak dalam skim cepat kaya, tawar pulangan tidak masuk akal

KUALA LUMPUR 14 Okt - Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai penganjuran skim cepat kaya atau skim yang menawarkan pulangan wang yang tidak masuk akal tanpa risiko bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Penolong Pengurus Besar Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Kamarul Rozman Nordin berkata dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih, pelbagai skim berkaitan muncul di platform media sosial dan iklan di laman web tertentu dan menggunakan pendekatan seperti WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan panggilan telefon untuk berhubung dengan mangsa.

 

"Ada juga penganjur yang menggunakan nama syarikat yang sah dan mengklon syarikat atau entiti tersebut sebagai modus operandi mereka. Apabila penganjur mengatakan pulangan wang telah ada, helah mereka yang seterusnya, selalunya akan meminta mangsa membayar sejumlah wang seperti yuran dan sebagainya.

 

"Mereka akan menunjukkan pelbagai sijil kononnya sebagai bukti dan selepas mangsa membayar, penganjur ini akan lari dan mangsa akan gigit jari," katanya pada Siri Webinar Penipuan Kewangan: Skim Cepat Kaya: Dijanjikan Keuntungan Berganda, Biarlah Berpada anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) melalui laman Facebook Amaran Scam pada Rabu.

 

Katanya, walaupun mana-mana individu atau entiti boleh mendaftar melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ini tidak bermaksud ia bebas menawarkan apa-apa produk kewangan kerana memerlukan kelulusan, pendaftaran dan mendapat lesen daripada SC, contohnya melibatkan saham syarikat, bon, syiling kripto, ekuiti skim pendanaan awam dan sukuk.

 

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya menyedari bahawa tiada skim pelaburan sah yang memerlukan pelabur memindahkan wang ke akaun persendirian, sebaliknya hanya ke akaun rasmi entiti yang berlesen atau berdaftar dengan SC.

 

"Jangan sekali-kali pindahkan wang ke akaun individu walaupun penganjur itu menunjukkan kad perniagaan dan sebagainya sebagai bukti. Jika anda ragu-ragu, hubungi SC di talian 03-62048999 atau aduan@seccom.com.my," kata Kamarul.

 

Katanya orang ramai boleh merujuk aplikasi portal 'Semak Mule' PDRM untuk mengesahkan sama ada akaun bank dan nombor telefon yang digunakan telah dilaporkan kepada polis.

 

Semakan juga boleh dibuat menerusi BNM yang menyediakan Senarai Amaran Pengguna Kewangan (bnm.my/fca) dan SC melalui senarai Peringatan Pelabur (www.sc.com.my/investor-alert ) yang memaparkan entiti dan skim yang tidak mendapat kelulusan BNM dan SC.

 

 

SC

 

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah BNM Hasjun Hashim berkata pelaburan seperti dagangan mata wang asing dan pengambilan deposit wang daripada orang ramai hanya dibenarkan dibuat oleh bank-bank sahaja.

 

Beliau berkata pelaburan emas yang menggunakan modus operandi untuk mengambil dan menyimpan wang atau pulangan daripada pelabur juga memerlukan lesen kerana ia dianggap mengambil wang deposit daripada orang ramai.

 

Sehingga September tahun ini, katanya pihak BNM telah menerima lebih 2,000 panggilan berkaitan skim cepat kaya dan kerugian yang dianggarkan adalah melebihi RM10 juta berdasarkan laporan yang diterima.

 

"Sekiranya mana-mana individu atau pihak telah terjebak dan tertipu, laporkan segera kepada BNM atau SC dan polis jika berlakunya kehilangan wang.

 

"Anda juga disaran supaya mengambil setiap dokumen, resit/slip pembayaran dan sebarang bukti transaksi. Ini penting supaya pihak berkuasa dapat menyekat aktiviti penipuan terbabit, seterusnya menjalankan siasatan lanjut dan membuat tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan," kata Hasjun. - DagangNews.com