SC denda bekas perunding unit amanah RM2 juta kerana tipu pelabur | DagangNews Skip to main content

SC denda bekas perunding unit amanah RM2 juta kerana tipu pelabur

KUALA LUMPUR 2 Sept - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menegur dan mengenakan denda sebanyak RM2 juta terhadap bekas perunding unit amanah Harani Kamarudin kerana menipu pelabur antara November 2012 hingga November 2019 sehingga menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM1.32 juta.

 

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata, "sebagai sebahagian daripada penipuannya dan untuk menarik perhatian mangsa untuk melabur dengannya, Harani, antara lain, telah membuat pernyataan palsu tentang sifat dan ciri pelaburan serta menjamin hasil pelaburan dan pulangan tertentu kepada mangsa, yang tidak menjadi kenyataan".

 

"Disebabkan oleh kelakuan dan tindakannya, dia telah melanggar seksyen 354(1)(b)(iii) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang dibaca bersama peruntukan Kod Etika dan Peraturan Kelakuan Profesional Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (Dana Unit Amanah).

 

"Penemuan SC mengenai pelanggaran dan sekatan ke atas Harani dibuat selepas melalui proses yang sewajarnya terhadapnya termasuk memberikan peluang untuk beliau menjawab kepada SC mengenai pelanggaran tersebut dan keputusan SC," kata suruhanjaya tersebut.

 

Pada Jun tahun lalu, SC meminta bantuan orang ramai mengesan Harani, yang disyaki melakukan beberapa salah laku berkaitan pelaburan unit amanah.



 

Harani Kamarudin
                Harani Kamarudin

 


Menurut SC, pendaftaran Harani, 38, dengan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) juga terbatal pada 27 November 2020.

 

Katanya, lelaki itu sebelum ini pernah berkhidmat dengan Eastspring Investments Berhad sebagai perunding unit amanah. - DagangNews.com