SEDC, Petronas meterai perjanjian pajakan tanah di Taman Perindustrian Petchem | DagangNews Skip to main content

SEDC, Petronas meterai perjanjian pajakan tanah di Taman Perindustrian Petchem

Taman Perindustrian Petchem di Tanjung Kidurong, Bintulu
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Jun - Sarawak Economic Development Corp (SEDC) menandatangani perjanjian tanah (HOA) dengan Petronas, Sarawak Shell Bhd dan PTTEP HK Offshore Ltd untuk pajakan tanah jangka panjang di Taman Perindustrian Petchem di Tanjung Kidurong, Bintulu, semalam.

 

Petronas berkata, tanah yang ditetapkan itu adalah untuk membina kompleks pelan darat yang merupakan sebahagian daripada projek Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES).

 

"Projek SISGES dijangka menjadi pemangkin untuk lebih banyak pembangunan sumber gas masam yang belum diterokai di luar pantai Sarawak dan rancangan pembangunan itu kini dalam proses semakan akhir," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Petronas berkata, kerjasama dengan agensi di bawah kerajaan negeri Sarawak, seperti dengan SEDC, sebagai pencapaian utama dalam mewujudkan serta mengekalkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil, kondusif untuk pertumbuhan mampan industri minyak dan gas di negeri ini.

 

SEDC mewujudkan Taman Perindustrian Petchem pada 2020 untuk menggalakkan penyertaan aktif daripada pelabur domestik dan antarabangsa bagi mempergiatkan aktiviti minyak dan gas hiliran Sarawak yang selaras dengan aspirasi kerajaan negeri Sarawak ke arah menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030. - DagangNews.com