Sedikit positif dengan pengambilalihan MyKRIS Asia, saran 'pegang' saham Maxis | DagangNews Skip to main content

Sedikit positif dengan pengambilalihan MyKRIS Asia, saran 'pegang' saham Maxis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pengambilalihan MyKRIS Asia Sdn. Bhd. (MyKRIS Asia) dalam urus niaga bernilai RM157.5 juta yang diumumkan semalam, hanya memberi impak minimum kepada Maxis Bhd. 

 

MyKRIS Asia adalah anak syarikat MyKRIS International Bhd yang tersenarai di pasaran Bursa LEAP dan langkah pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku 2022.

 

AmInvestment Bank Research mengekalkan unjuran pendapatannya memandangkan ia dijangka tidak memberi sebarang impak ketara kepada Maxis menerusi pengambilalihan tersebut.

 

Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Maxis, dengan nilai saksama tidak berubah pada RM5 sesaham berdasarkan kos purata wajaran modal (WACC) tidak berubah sebanyak 6.3% dan kadar pertumbuhan terminal dianggarkan 2%.

 

Dari perspektif kunci kira-kira, firma tersebut menganggarkan impak minimum ke atas pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA)/bersih/hutang tahun kewangan 2022 sebanyak 2.3x. 

 

Anggaran itu, jelasnya, mengambil kira hutang bersih Maxis yang tinggi sebanyak RM9 bilion manakala potensi muhibbah sebanyak RM82 juta pula adalah kecil berbanding aset tidak ketara syarikat sebanyak RM11 bilion.  

 

"Setelah mengambil kira semua faktor ini, kami sedikit positif dengan perkembangan ini memandangkan pengembangan perniagaan perusahan Maxis (buat masa ini merangkumi 7% daripada pendapatan perkhidmatan pada separuh pertama 2021) dengan kemampuan perkhidmatan rangkaian terurus (MNS) dan sekuriti mampu memberi impak yang lebih tinggi terhadap pendapatan jangka panjang," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Maxis ambil alih MyKRIS Asia berharga RM157.5 juta

 


Bagaimanapun, tambahnya, jika hasil MyKRIS Asia meningkat sehingga 79% daripada tahun kewangan 2021 kepada RM75 juta pada tahun kewangan 2025 seperti dinyatakan dalam perjanjian jual beli, untung bersih dijangka meningkat 3.7 kali kepada RM30 juta dengan andaian kenaikan tahunan sebanyak 10%.

 

"Ini sebahagiannya diimbangi oleh kos faedah ke atas harga pembelian penuh sebanyak RM158 juta, yang mencerminkan 2% kepada pendapatan Maxis bagi tahun kewangan 2024," jelasnya.

 

Pendapatan MyKRIS Asia telah meningkat secara purata sebanyak 4% dalam tempoh 2 tahun lalu kepada RM42 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2021 manakala untung bersih meningkat 2 kali ganda kepada RM8 juta. 

 

"Berdasarkan untung bersih bagi tahun kewangan 2021, harga asas pembelian berjumlah RM115 juta dan perbelanjaan faedah 5%, kami menjangkakan kesan yang tidak dapat dielakkan ke atas pendapatan Maxis bagi tahun kewangan 2022," katanya. 

 

Setakat 11.38 pagi ini, saham Maxis susut 2 sen atau 0.42% kepada RM4.73 dengan 231,000 saham diniagakan. - DagangNews.com