Selagi belum selesai, Serba Dinamik jadi tumpuan pasaran | DagangNews Skip to main content

Selagi belum selesai, Serba Dinamik jadi tumpuan pasaran

Fokus DagangNews

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

Sudah hampir 2 minggu isu membabitkan Serba Dinamik Holdings Bhd. berlarutan setelah timbulnya konflik berhubung audit kewangan tahun 2020 juruauditnya, KPMG.  

 

Dagangan saham syarikat ini meskipun menampakkan ruang pemulihan tetapi masih belum mampu bergerak ke paras sebelumnya. 

 

Setakat 11.55 pagi ini, saham Serba Dinamik menokok 0.8% kepada 63 sen sesaham.

 

Apa yang menimpa syarikat ini juga serba sedikit memberi tempias kepada 2 lagi syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Serba Dinamik.

 

Selain memiliki saham terbesar dalam syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan ini sebanyak 27.07% (setakat 8 Jun), beliau juga memiliki 32.36% pegangan dalam KPower dan 36.8% dalam SCIB.

 

Saham Serba Dinamik semakin merosot selepas KPMG membangkitkan isu berkaitan transaksi meragukan berjumlah lebih RM3 bilion.

 

Sejak minggu lalu, syarikat ini telah 'kehilangan' berbilion ringgit dalam pasaran modal akibat konflik tersebut yang disifatkan pemerhati pasaran sebagai 'sangat rumit' untuk dijelaskan.

 

Ketika pasaran dibuka Selasa (selepas cuti umum pada Isnin), dagangan harian saham Serba Dinamik pernah jatuh serendah 61 sen.

 

Seorang penganalisis berpendapat, sejauh mana rumitnya isu Serba Dinamik ketika ini bergantung kepada kebijaksanaan Mohd. Abdul Karim untuk mengambil tindakan seterusnya.

 

Beberapa firma penyelidikan sebelum ini melihat Serba Dinamik mempunyai kedudukan yang kukuh dengan harga sahamnya sentiasa menjadi pilihan pelabur. 

 

Dalam nota kajian hari ini, UOB Kay Hian Malaysia Research mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham Serba Dinamik tetapi menyemak semula harga sasaran kepada 70 sen setelah mengambil kira semua risiko penurunan, melainkan terdapat perkembangan di luar jangkaan.

 

"Kebanyakan penurunan telah diambil kira, melainkan KPMG meletak jawatan, pemilik syarikat melupuskan saham atau juruaudit bebas mempunyai pandangan lain.

 

"Bagaimanapun, disebabkan keperluan penilaian semula ini, yang mana ia positif terhadap semakan audit oleh pihak ketiga dan aliran tunai yang bertambah baik, akan mengambil masa.

 

"Kami telah menyemak turun semua unjuran pendapatan dengan mengambil kira ia akan memberi kesan jangka pendek," katanya.

 

Kenanga Research pula baru-baru ini menyemak turut sahamnya kepada 'underperform' daripada 'outperform' sebelum itu dengan harga sasaran direndahkan kepada 95 sen.

 

Malah, firma itu menyarankan supaya pelabur mengelakkan untuk berurusniaga dengan saham tersebut ketika ini sehingga terdapat perkembangan dalam isu berkenaan.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank turut menyemak turun Serba Dinamik daripada saranan 'beli' kepada 'jual' dengan harga saksama direndahkan kepada RM1.26 berbanding RM2.40 sebelum itu.

 

"Pada pandangan kami, penilaian Serba Dinamik masih tidak menentu sementara menanti hasil audit khas dijalankan," katanya.

 

TA Securities turut menurunkan saranan terhadap saham syarikat ini kepada 'beli' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran pada RM1 berbanding RM1.70.

 

"Dengan mengambil kira isu Serba Dinamik yang rumit ini, kami memerlukan lebih banyak maklumat terutama dari KPMG.

 

"Buat masa ini, kami tidak berpuas hati dengan penerangan pihak pengurusan semata-mata," katanya.

 

Berdasarkan pemerhatian DagangNews di Bursa Malaysia sejak Isnin, didapati Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan antara pemegang saham utama semakin mengurangkan pegangannya dalam Serba Dinamik.

 

Dalam makluman 8 Jun, ia menunjukkan sebanyak 681,300 saham dilupuskan dalam pasaran terbuka pada 2 Jun diikuti 273,900 lagi pada 3 Jun menerusi makluman bertarikh 9Jun.

 

Ini menjadikan setakat semalam, pegangan KWSP berkurangan kepada 9.92% berbanding sebelum itu, 10.15%.

 

Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang memiliki 5.25% kepentingan pada awalnya, kini bukan lagi pemegang saham utama setelah melupuskan pegangannya sejak minggu lalu. 

 

Difahamkan, ketika ini juga siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Sekuriti (SC) setelah pihak mereka memperoleh segala dokumen dan rekod yang diperlukan. 

 

Segala teka-teki yang membelit isu Serba Dinamik ini perlu dirungkai dan adalah lebih baik ia bertindak segera dengan mengumumkan firma bebas atau jawatankuasa bagi menjalankan forensik audit ini, yang dijangka dapat diketahui minggu ini. - DagangNews.com