Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 28 September 2020

aaa

 

SEMAK LATAR BELAKANG SYARIKAT TAWAR KHIDMAT RANCANG HARTA

 

Penulisan saya minggu ni terkait dengan penulisan saya minggu lepas. Saya sudah bekerja di dalam industri ini semenjak 1998 dari industri ini tidak wujud sehinggalah hari ini di mana industri ini  sangat meriah dengan pelbagai pemain.

Jika dahulunya masyarakat tidak faham apa kepentingannya mereka menyediakan dokumen perancangan harta seperti wasiat, hibah, harta sepencarian dan amanah, hari ini semua orang berlumba-lumba hendak buat dokumen masing-masing. Alhamdulillah, ini perkembangan yang menarik kepada industri.

Selain dari para peguam yang memang berkelayakan dan berpengetahuan menyediakan dokumen perancangan harta, apabila industri ini sudah meriah dan permintaan semakin tinggi, maka wujudlah ramai ‘penjual dokumen’ terdiri dari pihak lain (selain peguam) yang cuba memenuhi permintaan ini.  Industri ini yang dulunya senyap sunyi dan tidak dipandang, kini telah mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Siapa  yang saya maksudkan dengan ‘penjual dokumen’ ini ? Mereka ini ialah pihak-pihak yang tidak diketahui pengalaman,  latar belakang dan kelayakannya yang juga menawarkan perkhidmatan penyediaan dokumen perancangan harta mengikut format yang mereka bangunkan sendiri berdasarkan pengalaman dan pengetahuan masing-masing atau yang ‘dimodified’ dari  pemain lain yang lebih berpengalaman di dalam pasaran. Format-format dokumen ini kemudiannya dipasarkan secara agresif sama ada melalui ejen atau melalui atas talian.

Namun terdapat risiko yang masyarakat perlu faham apabila mereka menggunakan perkhidmatan ‘penjual dokumen’ ini. Kerana tiadanya kawalan undang-undang dari mana-mana pihak berkuasa, mereka boleh sahaja memperkenalkan apa sahaja format mengikut  kehendak mereka.

Format-format yang mereka gunakan mungkin sahaja tidak berkuatkuasa atas sebab tidak dikemaskini mengikut perubahan undang-undang semasa dan dibuat berdasarkan agak-agak atau peniruan semata-mata. Organisasi seperti ini tidak dikawal undang-undang dan tiada juga sistem kawalan dalaman.

Masyarakat yang tidak faham risiko ini dan tertarik dengan pelbagai tawaran harga murah yang ditawarkan, kemudiannya akan membeli format-format dokumen ini dengan persepsi bahawa menyediakan dokumen-dokumen ini sudah mencukupi untuk mencapai hasrat perancangan harta mereka.

Mereka juga didoktrinkan bahawa buat dokumen perancangan itulah yang paling penting tanpa didedahkan maklumat bahawa perlaksanaan dokumenlah yang merangkumi 70% dari proses yang memastikan hasrat mereka tercapai. 

Inilah salah satu dari cabaran utama industri perancangan harta di Malaysia kerana ia ‘unregulated’. Jika industri kewangan dan sekuriti dikawal ketat Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti melalui pelbagai undang-undang dan peraturan, industri perancangan harta ini tidak dikawal langsung oleh mana-mana agensi kerajaan dan tiada undang-undang khusus mengenainya. Kelompongan ini diambil kesempatan oleh pelbagai pihak.

Ini menyebabkan akses ke dalam industri ini menjadi sangat mudah. Sesiapapun tanpa mengira latar belakang dan kelayakan, boleh mendakwa syarikat atau diri mereka sendiri  secara individu ialah orang yang berkelayakan, berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang ini.

Mereka boleh saja mendakwa bahawa format dokumen yang mereka buat itulah yang terbaik untuk mencapai hasrat masyarakat. Mereka juga boleh menjanjikan bulan dan bintang kerana mereka tahu tiada undang-undang yang mengikat mereka supaya berakauntabiliti dengan apa yang mereka buat.
 

aaa

Ada organisasi di dalam industri ini yang saya ketahui diterajui oleh orang yang bankrap dan ada juga yang terpalit dengan kes pecah amanah. Semua ini dapat mereka lakukan kerana ketiadaan undang-undang yang mengikat industri ini.  Mereka bebas melakukan apa sahaja.

Keadaan ini berbeza dengan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang diikat ketat Akta Pemegang Amanah 1949, Akta Syarikat 2016, Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2000 Suruhanjaya Sekuriti dan tadbir urus korporat setaraf syarikat senaraian awam. Suruhanjaya Syarikat Malaysia pula ialah ‘regulator’ bagi kami.

Lembaga Pengarah kami disaring terlebih dahulu untuk melihat rekod CCRIS, Insolvensi dan laporan jenayahnya. Saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif juga disaring perkara-perkara ini dan ditemuduga juga oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan saya benar-benar faham fungsi dan tanggungjawab saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Hanya selepas diluluskan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, barulah pelantikan saya disahkan.

Lembaga Pengarah dan Panel Syariah kami mempunyai bidang kuasa melalui terma rujukan yang diluluskan mengikut standard syarikat senaraian awam. Pengurusan syarikat pula beroperasi mengikut arahan Lembaga Pengarah dan had kuasa yang ditetapkan.

Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai kuasa penuh untuk menetapkan apa-apa format dokumen perancangan harta yang bersesuaian dengan undang-undang syariah semasa. Sebagai syarikat amanah patuh syariah, pihak pengurusan akan melaksanakan sepenuhnya arahan seperti yang diputuskan oleh Panel Syariah. Tiada mana-mana pihak boleh mengubah keputusan yang dibuat oleh Panel Syariah termasuklah Lembaga Pengarah.

Ini merupakan jaminan kepatuhan syariah yang diperkenalkan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad. Masyarakat yang menyediakan dokumen perancangan dengan Wasiyyah Shoppe Berhad boleh yakin bahawa dokumen yang dibuat adalah berkuatkuasa mengikut undang-undang.

Seksyen 33 Akta Pemegang Amanah 1949 juga menetapkan bahawa Wasiyyah Shoppe Berhad perlu terus beroperasi pada masa hadapan untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan kepadanya. Ini memberi jaminan bahawa masyarakat yang membuat dokumen dengan kami hari ini mendapat kepastian bahawa waris-waris mereka akan dibantu pada masa hadapan dalam melaksanakan dokumen-dokumen yang dibuat melalui proses perundangan yang diperlukan.

Pengalaman saya bekerja selama 22 tahun dalam industri ini menunjukkan bahawa ada dua perkara yang diperlukan orang yang merancang harta iaitu kepastian dan bantuan kepada waris.

Kepastian bermakna kita perlukan kepastian bahawa dokumen yang kita buat hari ini adalah berkuatkuasa mengikut undang-undang supaya hasrat kita ingin membahagikan harta kepada waris atau orang yang kita kehendaki akan tercapai.

Keperluan ini dapat dicapai melalui syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang beroperasi mengikut undang-undang dan sentiasa berusaha memastikan dokumen yang dibuat adalah mengikut undang-undang semasa sekaligus mencapai hasrat masyarakat.

Perkara kedua iaitu bantuan kepada waris juga dapat dicapai melalui Wasiyyah Shoppe Berhad kerana sebagai syarikat amanah, elemen kesinambungan operasi adalah keperluan undang-undang terhadap kami yang mesti dipenuhi mengikut Seksyen 33 Akta Pemegang Amanah berbanding organisasi bukan amanah yang operasinya boleh ditutup pada bila-bila masa.

Perkara yang saya ceritakan dalam penulisan hari ini adalah apa yang 99% masyarakat tidak tahu dan setakat hari ini pada pengetahuan saya, hanya saya sahaja yang bercerita tentang hal ini di dalam industri.  Masyarakat perlu faham bahawa buat dokumen perancangan adalah perkara serius dan mesti juga disediakan oleh organisasi yang terikat ketat dengan undang-undang.

Ia bukan perkara enteng yang kita boleh pandang mudah. Adakah berbaloi kita mempertaruhkan harta milik kita yang bernilai ratusan ribu malah mungkin jutaan ringgit kepada organisasi yang tiada jaminan kepatuhan undang-undang dan kesinambungannya? Maka itu, sila semak latar belakang organisasi yang anda ingin sediakan dokumen perancangan harta anda.

 

ariffinsabirin

Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

BUAT DOKUMEN SAHAJA SEMUA SELESAI?

Tiga langkah mudah elak pusaka bermasalah

Balu selalu tertindas bab pusaka?

APA SEBENARNYA PUNCA MASALAH HARTA PUSAKA TERBEKU DI MALAYSIA?
Kita tinggalkan PUSAKA atau PUAKA?

"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"

RAMAI ORANG ISLAM TIDAK TAHU DIA SEDANG MENGALAMI KERUGIAN

APA YANG KECOH SANGAT PASAL PUSAKA NI?

 

 

 

Portfolio Tags