Serba Dinamik gantung dagangan, saham KPower susut | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik gantung dagangan, saham KPower susut

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Serba Dinamik Holdings Bhd. menggantung dagangan saham di Bursa Malaysia mulai 9 pagi hingga 5 petang ini, dalam maklumannya pagi ini. 

 

Menurut syarikat tenaga itu, penangguhan itu dibuat sementara menunggu penjelasan selanjutnya berhubung pengumuman yang dibuat Selasa lalu (25 Mei). 

 

Ini berikutan penjelasan KPower Bhd. bahawa syarikatnya dan Serba Dinamik adalah 2 entiti berbeza dan terpisah yang beroperasi secara bebas antara satu sama lain kecuali mempunyai pemegang saham utama dan pengarah, Datuk Mohd. Abdul Karim Abdullah. 

 

Malah, KPower berkata, Abdul Karim sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas tidak terlibat dalam operasi harian dan juga pengurusan syarikat berkenaan. 

 

Menerusi makluman Serba Dinamik pada 25 Mei lalu, syarikat itu menjelaskan bahawa Lembaga Pengarahnya telah dimaklumkan oleh pengaudit luaran berhubung beberapa perkara melibatkan audit berkanun.

 

Sehubungan itu, pihak Lembaga Pengarah Serba Dinamik sedang melantik firma bebas bagi melaksanakan semakan khas untuk menilai kesahihan perkara tersebut.

 

Saham KPower ketika dibuka pagi ini susut 11.24% atau 19 sen kepada RM1.50.

 

Baca : KPower perjelas operasinya bergerak bebas dari Serba Dinamik

 

Sementara itu, dalam nota kajian hari ini, Kenanga Research, menyemak turun penarafan Serba Dinamik kepada 'underperform' daripada 'outperform' sebelum itu.

 

Penganalisisnya, Steven Chan berkata, isu berkenaan menyebabkan ketidaktentuan berhubung laporan kewangan kumpulan.

 

"Oleh itu, kami mengesyorkan pelabur untuk mengelakkan (nama Serba Dinamik) untuk tempoh ini dan menunggu pengumuman lanjut berikutan perkembangan isu berkenaan," jelasnya.

 

Kenanga Research menurunkan harga sasaran Dinamik kepada 95 sen berbanding sebelum itu, RM2.80.

 

Menurut Steven, awal bulan ini, Serba Dinamik mengumumkan perubahan tahun kewangan akhir kepada Jun 2021 daripada Disember 2020 yang mana menurut pengurusan, kumpulan tidak berjaya menyelesaikan akaun yang diaudit tepat pada waktunya disebabkan prosesnya terjejas akibat perintah sekatan di seluruh dunia dan juga di Malaysia.

 

"Daripada apa yang kami difahamkan, pasukan audit luar KPMG menemui beberapa isu berhubung prosedur operasi kumpulan.

 

"Bagi menangani isu berkenaan, kumpulan sedang dalam proses untuk melantik firma bebas (mungkin satu lagi firma audit) bagi mengendalikan semakan khusus berhubung perkara ini," katanya. 

 

Berdasarkan analisis Kenanga Research, kedudukan kumpulan adalah baik jika pasukan audit itu berpuas hati dengan semakan bebas dan pematuhan pengurusan terhadap inkues dan menandatangani akaun teraudit bagi tahun kewangan 2021 (Jun).

 

"Tetapi, jika sebaliknya berlaku dan pengaudit menemui sebarang keraguan, kami percaya laporan audit yang tepat akan dibuat," jelasnya. - DagangNews.com