Setelah bergelut dengan masalah kewangan, Perak FC 'dilelong' RM1 kepada XOX | DagangNews Skip to main content

Setelah bergelut dengan masalah kewangan, Perak FC 'dilelong' RM1 kepada XOX

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mei - Anak syarikat XOX Berhad, XOX Pro Sport Sdn. Bhd. memeterai perjanjian bersama Impact Media& Communication Sdn. Bhd. bagi pengambilalihan 100% pegangan ekuiti dalam kelab bola sepak Perak FC Sdn. Bhd. pada harga RM1.

 

XOX dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pembelian Perak FC pada harga RM1 adalah berdasarkan persetujuan bersama selepas mengambil kira kerugian mereka selepas cukai, tunggakan hutang dan kesukaran untuk beroperasi sebagai sebuah kelab bola sepak.

 

"XOX melihat cadangan pengambilalihan itu sebagai antara peluang untuk meluaskan ekosistemnya di dalam bola sepak.

 

"Kumpulan XOX bagaimanapun tidak akan menanggung sebarang liabiliti termasuk liabiliti luar jangka yang timbul daripada cadangan pengambilalihan itu," katanya.

 

Menurutnya, cadangan pengambilalihan Perak FC itu dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku ketiga 2024.

 

Cadangan pembelian pada harga RM1 itu hadir selepas penilaian dibuat berdasar penyata kewangan Perak FC yang diaudit setakat 30 Jun 2021 yang menunjukkan mereka mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM2.31 juta dan liabiliti bersih RM3.50 juta.

 

Selain berdepan kesukaran beroperasi sebagai sebuah pasukan, Perak FC juga memiliki hutang tertunggak sebanyak RM7.1 juta sehingga 31 Disember 2021.

 

Sebelum ini, Perak FC sudah dua kali dihukum dengan pemotongan mata yang membabitkan jumlah keseluruhan sembilan mata atas kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

 

Pada 21 April lalu, badan bebas First Instance Body (FIB) memberi talian hayat dengan meluluskan permohonan Perak FC untuk lanjutan masa bagi memberi ruang pengurusan kelab itu menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan. - DagangNews.com