Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 tawar peluang eksport kepada syarikat Malaysia - MATRADE | DagangNews Skip to main content

Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 tawar peluang eksport kepada syarikat Malaysia - MATRADE

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Frankfurt - Foto Bernama

KUALA LUMPUR 20 April -  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggalakkan syarikat Malaysia yang sedia untuk eksport memanfaatkan peluang perniagaan yang wujud daripada Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

 

Dalam Sukan Olimpik di Tokyo sebelum ini, Malaysia terlibat dalam memudahkan penyediaan oleh rangkaian makanan Jepun untuk makanan halal, kata Pengarah Seksyen Eropah dan Amerika MATRADE Razida Hanim Abdul Razak dalam kenyataan hari ini.

 

“Dengan landskap ekonomi global semasa yang mencabar dengan gangguan dalam rantaian bekalan dan isu geopolitik, kami berpendapat kita boleh mengukuhkan kerjasama Malaysia-Perancis untuk manfaat bersama melalui Sukan Olimpik dan Paralimpik di Paris,” katanya.

 

Bidang peluang di Perancis pada masa ini dilihat dalam sektor seperti teknologi maklumat dan komunikasi; makanan dan minuman; perundingan dalam pembinaandan perkhidmatan profesional, keselamatan, pengangkutan serta pengurusan acara dan transformasi halal.

 

MATRADE berharap ini dapat dicontohi dan malah lebih baik dengan menawarkan sokongan dalam sektor lain.

 

Lembaga Penyampaian Sukan Olimpik, struktur tadbir urus utama yang ditubuhkan oleh kerajaan Perancis, bertanggungjawab untuk menganjurkan acara sukan terbesar di dunia ini, yang dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

 

Ia bertanggungjawab untuk menyediakan lokasi sukan dan infrastruktur. Ia turut bertanggungjawab untuk memastikan transformasi ini berterusan selepas Paris 2024, memberi petunjuk bahawa peluang berterusan walaupun selepas acara sukan itu berakhir, menurut MATRADE.

 

Secara keseluruhannya, nilai tender yang ditawarkan daripada penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024 berjumlah €5 bilion (RM24 bilion).

 

 

matrade
Razida Hanim Abdul Razak

 

 

Setakat ini, 25% daripada kontrak itu bernilai €164.4 juta (RM789.12 juta) telah diberikan kepada syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana daripada pelbagai segmen ekonomi.

 

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Frankfurt, Zuhaila Sedek berkata penting bagi syarikat Malaysia untuk mematuhi peraturan sektor yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU).

 

Beliau berkata walaupun kerja-kerja di Perkampungan Olimpik telah bermula, masih terdapat peluang untuk syarikat Malaysia melalui tender yang disediakan untuk semua.

 

“Kami akan mencadangkan kepada pengeksport Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan di Perancis berikutan halangan dari segi bahasa dan untuk sokongan operasi.

 

“Diharapkan, dengan mempunyai lebih banyak syarikat Malaysia di Perancis, akan terdapat lebih banyak syarikat tempatan yang sedia untuk EU, yang bermakna mereka juga sedia untuk seluruh dunia,” katanya.

 

Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 dijangka menjana manfaat ekonomi bernilai €10.7 bilion (RM51.36 bilion) dan mewujudkan lebih 250,000 pekerjaan di rantau Ile-de-France, Bernama melaporkan.

 

MATRADE berkata acara terkemuka dunia itu menjangkakan 9.7 juta penonton dan 4 bilion penonton di seluruh dunia, menawarkan peluang yang besar untuk menjenamakan Malaysia di peringkat global.

 

Syarikat Malaysia yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi MATRADE Paris melalui e-mel di paris@matrade.gov.my atau frankfurt@matrade.gov.my. - DagangNews.com

 

Syarikat Malaysia yang berminat untuk meninjau tender yang ditawarkan boleh merujuk laman web ini;  

 

i. berkaitan dengan Olimpik: https://ess2024.org/consultations


ii. berkaitan secara tidak langsung dengan Olimpik: https://ess2024.org/consulter-les-marches-indirect-des-jeux/


iii. Tender enterprises2024: https://entreprises2024.fr/