KUALA LUMPUR 21 Feb - Etika Automotive Sdn. Bhd. yang memiliki 49% pegangan dalam Lotus Cars merancang untuk menyenaraikan cabang perniagaannya, Lotus Technology di pasaran saham yang dianggarkan bernilai sekitar £5 hingga £6 bilion (RM28.5 bilion hingga RM34.2 bilion).
Etika Automotive dikuasai tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang mana syarikat itu turut mempunyai kepentingan kecil dalam Lotus Technology sebanyak 30%.
Memetik laporan daripada Autocar United Kingdom, Lotus ketika ini sedang melaksanakan langkah bertemu dengan pelabur berpotensi bermula di China diikuti United Kingdom (UK) bagi memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) SUV yang dikenali sebagai Type 132.
"Ia merancang untuk menjual 100,000 kenderaan itu setahun bermula 2028 dengan 90,000 daripada adalah kenderaan EV yang dikeluarkan oleh Lotus Technology," katanya dalam laporan berkenaan.
Rancangan penyenaraian itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang.
Tetapi, setakat ini masih belum ada keputusan untuk menyenaraikannya di pasaran saham Asia, London atau New York.
Menurut laporan itu lagi, syarikat tersebut dilihat lebih mengutamakan tawaran awam permulaan (IPO) berbanding kaedah penyenaraian syarikat pengambilalihan tujuan khas seperti yang dilaksanakan Geely Polestar baru-baru ini.
Malah, reaksi pasaran dan minat pelabur di China ketika ini juga dikatakan sangat tinggi terhadap rancangan tersebut.
"Keputusan untuk menyenaraikan Lotus Technology dan bukannya Lotus Cars adalah bergantung kepada struktur pemilikan bahagian," katanya.
Pada Mei 2017, DRB-Hicom Bhd. keluar daripada segmen kereta sport dengan penjualan Lotus Advance Technologies Sdn. Bhd. dengan harga £100 juta kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd, yang mengambil alih 51% kepentingan dan Etika Automotive pula 49%. - DagangNews.com