Syarikat Malaysia digesa teroka pasaran eksport antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Syarikat Malaysia digesa teroka pasaran eksport antarabangsa

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Syarikat tempatan mempunyai peluang besar untuk meneroka pasaran eksport luar Malaysia bagi merancakkan jualan mereka walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong (gambar atas) berkata, ini adalah berikutan dasar perdagangan antarabangsa Malaysia sejak dulu menyokong pasaran di luar negara yang adil dan mampan. 

“Pada tahap multilateral di bawah kepimpinan Malaysia, sebanyak 21 ekonomi dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) komited untuk menyokong kerja Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk merancakkan usaha dalam initiatif memudahkan perdagangan dan memperkukuh ketahanan rantaian bekalan di rantau ini sebagai langkah memacu pemulihan ekonomi ketika waktu mencabar ini. 

“Oleh itu, amat penting untuk perniagaan Malaysia untuk menembusi sempadan negara dan meneroka peluang baharu dalam pasaran eksport. Kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyokong pengeksport Malaysia dalam melaksanakan perniagaan antarabangsa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian eNational Export Day (eNED 2020) yang julung kalinya diadakan secara maya bertemakan 'Transforming Crisis into Opportunities'.

eNED 2020 yang dianjurkan sehingga 10 September ini mengumpulkan personaliti serta pakar dari pelbagai sektor termasuk perniagaan tempatan dan antarabangsa yang berkongsi pengalaman serta perjalanan mereka berdepan krisis COVID-19 selain meneroka pasaran luar Malaysia.

Seramai 1,300 syarikat dijangka menyertainya antaranya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula (start-up), syarikat milik kerajaan (GNC), syarikat multinasional (MNC) dan pelbagai lagi. 

Baca : Wujudkan kategori pelabur pembiayaan awam bantu PKS

Dalam pada itu, Pengerusi MATRADE, Tan Sri Dr. Halim Mohammad berkata, memandangkan pasaran antarabangsa sangat canggih dan berdaya saing, oleh itu pengeksport tempatan perlu mengetahui cara untuk menjalankan perniagaan ke peringkat tersebut untuk terus berkembang.

“Sebagai agensi yang mempromosi eksport Malaysia, MATRADE membantu syarikat Malaysia dari segi pembangunan pengeksport, promosi eksport, berkongsikan maklumat perdagangan dan pasaran serta menyediakan empat khidmat nasihat perdagangan. 

 

CEO Matrade Datuk Wan Latiff
WAN LATIFF WAN MUSA ketika membaca teks ucapan Halim Mohammad pada eNED 2020 hari ini.

 

“Saya berharap syarikat-syarikat mempunyai minat untuk berkembang ke pasaran global tetapi, perlu berdaftar dengan MATRADE, sila lakukan segera.

"Sebagai syarikat yang berdaftar, pelbagai kelebihan diberikan termasuk jemputan ke webinar dan persidangan perdagangan, didedahkan kepada komuniti pengimport global, menerima perniagaan perdagangan berpotensi, boleh menembus semula perbelanjaan promosi eksport menerusi Geran Pembangunan Pasaran (MDG), Dana Perkhidmatan Eksport (SEF), eTrade dan menyertai aktiviti perdagangan,” katanya ketika berucap pada eNED 2020.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa. - DagangNews.com