Syarikat Singapura Tayrona Capital ambil alih Harbour City Melaka | DagangNews Skip to main content

Syarikat Singapura Tayrona Capital ambil alih Harbour City Melaka


Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 12 Ogos – Syarikat Singapura, Tayrona Capital Pte Ltd mengambil alih 99% kepentingan di dalam projek pembangunan bercampur Harbour City milik Hatten Land Ltd di Melaka, sebagai sebahagian daripada urus niaga bernilai AS$323 juta (RM1.35 bilion).

Hatten Land yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX) berkata, perjanjian dengan Tayrona Capital akan menyaksikan syarikat Singapura itu melabur AS$23 juta (RM96.6 juta) ke dalam Gold Mart Sdn Bhd iaitu anak syarikat Hatten Land yang membangunkan Harbour City menerusi penerbitan saham baru yang membolehkan Tayrona Capital meraih 99% saham syarikat.

Tayrona Capital juga akan menyuntik AS$240 juta (RM1.08 bilion) untuk `menambah baik dan menyempurnakan pembangunan serta pemasaran Harbour City,’’ kata Hatten Land di dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Hatten Land, sebagai pemilik asal konsep dan pemaju projek Harbour City, pihaknya akan mengemukakan pelbagai harta intelek seperti reka cipta dan konsep projek, nama domain, tapak internet dan bahan-bahan pemasaran kepada Tayrona Capital untuk pertimbangan nilai sebanyak AS$60 juta (RM252 juta).

Kumpulan syarikat itu berkata, hasil AS$60 juta itu akan meneguhkan penyata imbangan dan memberikan flesibiliti kewangan yang lebih besar baginya mencari inisiatif pertumbuhan baharu.

Menurut Hatten Land lagi, sehingga 31 Mac lalu, aset bersih dan aset bersih semasa syarikat adalah masing-masingnya sebanyak RM370 juta dan RM307 juta.

Hatten Land mempunyai hartanah siap yang belum terjual bernilai kira-kira RM1.3 bilion.

Satu mesyuarat agung luar biasa akan diadakan oleh Hatten Land bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham terhadap cadangan transaksi berkenaan.
 

hatten3
PEMBINAAN bangunan hotel dan pusat beli-belah Harbour City mengikut jadual.


Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Hatten Land Datuk Colin Tan berkata: “kami teruja kerana Tayrona Capital mengiktiraf potensi Harbour City dan berkongsi optimisme kami untuk prospek jangka panjang di Melaka.

“Dengan rekod prestasi antarabangsa Tayrona Capital dan kepakaran di dalam pembangunan hotel serta pengurusan hospitaliti, terdapat potensi dan sinergi kuat bagi kedua-dua syarikat untuk berkolaborasi di dalam projek-projek lain di Melaka pada masa akan datang,’’ tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tayrona Capital, James Ordonez berkata, reka bentuk avant-garde dan konsep inovatif Harbour City adalah padanan strategik kepada portfolio aset hospitaliti global Tayrona Capital

“Kami mengalu-alukan untuk bekerja lebih rapat dengan Hatten Land bagi mencipta peluang pelancongan dan ekonomi yang baru di Melaka daripada projek ini,’’ tambah beliau.

Harbour City adalah pembangunan bertema yang merangkumi Pusat Beli-Belah Harbour City Bertema, taman tema air `Sky’ terbesar Melaka seluas 500,000 kaki per segi dan juga hotel mewah.
 

hatten3
PEMBINAAN kawasan taman tema air sedang rancak berjalan di Harbour City, Melaka.

 

Menurut kenyataan media itu lagi, Tayrona Capital berminat untuk mengambil alih dan menyiapkan projek tersebut sebagai tambahan kepada rangkaian Sagana Hotels & Resorts miliknya yang terdiri daripada 32 hotel atau resort di seluruh dunia dan Koleksi Destinasi Bersepadu Ultra Mewah yang pada masa ini mempunyai operasi dan pembangunan di 22 negara. – DagangNews.com