Skip to main content

Telco gagal capai piawaian kualiti perkhidmatan akan didenda - MCMC

CYBERJAYA 24 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan 40 notis wajib kepatuhan terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari 2022 hingga 15 Jun 2022.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC berkata ia menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar di bawah Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) di 3,038 lokasi di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

 

Ia adalah susulan daripada arahan yang dikeluarkan oleh YB Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia kepada MCMC untuk membuat pemetaan dan audit kualiti perkhidmatan capaian Internet di seluruh Malaysia

 

"Kesemua lokasi ini dipilih berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima oleh MCMC.

 

"Daripada 3,038 lokasi tersebut, 40 notis wajib kepatuhan yang melibatkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari 2022 hingga 15 Jun 2022," kata MCMC.

 

Suruhanjaya itu memberitahu, tiga maklum balas notis telah dinilai dan MCMC telah mengeluarkan Arahan Suruhanjaya terhadap tiga syarikat telekomunikasi iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd yang didapati gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menambah baik kualiti perkhidmatan di beberapa kawasan yang dikenal pasti di Langkawi, termasuk Langkawi Highway dan beberapa kawasan pelancongan.

 

"Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei 2022 menuntut ketiga-tiga syarikat itu untuk membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik dan memenuhi MSQoS.

 

"Kegagalan syarikat telekomunikasi dalam memenuhi Arahan Suruhanjaya berkenaan piawaian kualiti ini boleh mengakibatkan syarikat telekomunikasi tersebut dikenakan penalti berat sehingga RM200,000 di bawah seksyen 109, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM),'' kata suruhanjaya itu.

 

Aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan oleh pihak MCMC bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.

 

Bermula pada tahun 2021, MCMC telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri di mana salah satu penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit yang dahulunya enam pasukan, kini terdapat 14 pasukan untuk menjalankan audit di lapangan.

 

Selain daripada itu, MCMC turut memperketatkan penguatkuasaan MSQoS Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar, jika sebelum ini audit dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dijalankan di seluruh lokasi.

 

"MCMC akan terus komited untuk memastikan rakyat di negara ini terus terhubung dan berupaya bagi memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi," kata suruhanjaya tersebut. - DagangNews.com