Tiga faktor boleh jejas ringgit, diunjur susut RM4.30 berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Tiga faktor boleh jejas ringgit, diunjur susut RM4.30 berbanding dolar AS

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa bulan ini sebelum mencecah RM4.30 menjelang akhir 2021. 

 

Bagaimanapun, dalam tempoh berkenaan, mata wang tempatan itu diunjur berlegar dalam julat antara RM4.15 hingga RM4.20 berbanding dolar AS, menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Firma itu menggariskan 3 faktor utama yang mempengaruhi dagangan ringgit bagi tahun ini yang berbaki lagi 3 bulan.

 

Jelasnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disemak semula lebih rendah disebabkan peningkatan jangkitan COVID-19 di sebalik kadar vaksinasi tinggi, secara tidak langsung akan merendahkan KDNK pada separuh kedua 2021 kepada 0% hingga 0.5% berbanding 7.1% tahun ke tahun pada separuh pertama.

 

"Cadangan kerajaan untuk melebarkan defisit fiskal kepada 6.5% hingga 7% daripada KDNK berbanding anggaran awal iaitu 6%, bermakna had statutori hutang akan dinaikkan daripada 60% kepada 65% daripada KDNK. 

 

"Selain itu, situasi politik semasa sementara menanti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), akan menyebabkan pelabur kekal berhati-hati terhadap penarafan hutang pada masa depan, dan risiko berlakunya penurunan penarafan," jelasnya dalam laporan tematik hari ini.

 

Ringgit memulakan dagangan kukuh tahun ini pada RM4.02 berbanding dolar AS tetapi merosot 2.6% kepada RM4.12 pada akhir Mei 2021, paras terendah 8 bulan sejak Oktober 2020.

 

Di sebalik lonjakan harga komoditi global, prospek ekonomi global dan dagangan bertambah baik, mata wang tempatan itu terjejas ekoran peningkatan ketara jangkitan COVID-19 di dalam negara, kadar vaksinasi yang perlahan dan ketidakstabilan politik. 

 

Tambahan pula, pemulihan ekonomi negara turut terkesan dengan impak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 pada Januari hingga Februari lalu.

 

Ini kemudiannya diikuti dengan PKP 3.0 meskipun kadar vaksinasi semakin meningkat, sekali gus mengheret ekonomi merekodkan pertumbuhan negatif pada suku ketiga 2021. 

 

Selain itu, ringgit juga terjejas dengan perubahan terhadap prospek dolar AS memandangkan sebahagian daripada pengukuhan mata wang utama ini didorong oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mengumumkan pengurangan pembelian aset.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Ogos lalu menyemak semula KDNK kepada 3% hingga 4%, lebih rendah berbanding unjuran sebelum itu, 6% hingga 7.5%.

 

AmInvestment turut menyemak semula unjuran KDNK tahun ini lebih rendah antara 3% hingga 3.5% dengan penurunan 1.5% walaupun mengharapkan ekonomi kembali pulih secara sederhana pada suku keempat ini. 

 

Namun, menurut firma itu, kelemahan ringgit ini boleh berlaku sebaliknya, jika ekonomi dapat dibuka semula pada akhir Oktober dengan semua negeri beralih kepada fasa ketiga dan keempat di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang November selepas populasi dewasa divaksinkan sepenuhnya. 

 

Pada masa sama, katanya, persekitaran permintaan luar yang kembali pulih, disokong dasar-dasar ekonomi dan permintaan domestik semakin meningkat akan membantu pemulihan ekonomi apabila memasuki 2022. 

 

"Lebih penting lagi, kestabilan politik dapat membantu meningkatkan keyakinan sentimen pengguna, perniagaan dan pelabur. 

 

"Ini dilaksanakan menerusi dasar yang efektif dan prosedur standard operasi (SOP) yang jelas akan meningkatkan pergerakan, permintaan terpendam (pent-up demand) dan pengembangan perniagaan sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pasaran buruh," katanya. 

 

AmInvestment berkata, selain mengambil kira faktor asas makro dan kestabilan politik, aliran masuk modal, pembaharuan dasar, krisis kredit, bankrap dan peruntukan tidak dijangka, pendirian BNM terhadap kadar tukaran asing juga perlu dipertimbangkan dan dinilai dengan teliti. 

 

Dalam dagangan pagi ini, ringgit dibuka pada RM4.1445/1485 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.1465/1490 seiring dengan kenaikan harga minyak mentah global. - DagangNews.com