KUALA LUMPUR 25 Mei - Telekom Malaysia Bhd. (TM) mencatat hasil sebanyak RM2.89 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 2.9% daripada RM2.81 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 dipacu permintaan perkhidmatan suara, internet dan multimedia yang lebih tinggi.
Biarpun persaingan sengit untuk menawarkan penyelesaian bersepadu antara telco dan pemain teknologi lain, TM terus mencatat pertumbuhan jumlah pelanggan yang kukuh merentasi operasinya.
Dengan memanfaatkan perniagaan terasnya dan melabur dalam bidang-bidang pertumbuhan baharu, TM memantapkan lagi inisiatif-inisiatif transformasinya, mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) bagi suku tersebut berjumlah RM339.9 juta atau 4.4% lebih tinggi daripada RM325.5 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Kumpulan turut merekodkan kos pembiayaan lebih rendah susulan penebusan awal sukuk RM2 bilion pada
Mac 2021, serta kerugian lebih rendah atas tukaran wang asing bagi pinjaman yang dibuat. Pada masa sama, kumpulan turut melaksanakan kadar cukai wajib Cukai Makmur untuk suku berkenaan.
Pada suku tersebut, aliran tunai bebas pula adalah 15.1% lebih rendah pada RM658.8 juta berbanding RM775.7 juta berikutan perbelanjaan modal (capex) lebih tinggi apabila kumpulan terus melabur untuk perluasan perniagaan dan memenuhi permintaan pelanggan menerusi penambahan teknologi dan penyampaian rangkaian bagi memastikan pertumbuhan yang stabil.
Sejajar dengan laporan kewangan pada suku pertama 2022, TM hari ini turut menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke–37, dengan kesemua 13 Resolusi Biasa dan satu Resolusi Khas yang dibentangkan telah diluluskan oleh para pemegang sahamnya.
Mesyuarat tersebut, yang diadakan secara dalam talian untuk tahun ketiga berturut-turut bagi memberikan fleksibiliti umum untuk berinteraksi dengan para pemegang saham. Acara tersebut telah menyaksikan penyertaan lebih 1,000 orang pemegang saham secara maya.
Mempengerusikan prosiding buat kali pertama, Pengerusi Lembaga Pengarah TM, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim berkata, 2021 merupakan tahun pertama yang penting bagi Transformasi TM Baharu.
"Kumpulan menetapkan asas yang kukuh sebagai sebuah syarikat tersenarai awam yang memberi fokus kepada pertumbuhan dengan melabur untuk pulangan jangka panjang optimum buat para pemegang sahamnya, di samping meneruskan usaha pembinaan negara bagi merealisasikan Digital Malaysia secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain Lembaga Pengarah, barisan pengurusan kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Razidan Ghazalli turut hadir untuk memberi penjelasan mengenai Penyata Kewangan 2021 yang telah diaudit dan keutamaan syarikat untuk masa hadapan.
Sementara itu, Imri berkata, pada 2022, kumpulan berhasrat untuk terus mengembangkan hasil operasi dengan mengukuhkan momentum perniagaan teras bagi meningkatkan keberuntungan, dan membolehkan TM melabur untuk pertumbuhan masa hadapan.
Memasuki tahun kedua transformasi, beliau memberitahu, kumpulan menumpukan kepada usaha mengukuhkan
perniagaan teras di samping melabur dalam bidang-bidang pertumbuhan baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan.
"Dalam memastikan kelestarian jangka panjang, kami terus meningkatkan keberuntungan kami untuk melabur dan mengambil peluang yang wujud daripada kemajuan digital.
“Salah satu peluang ini adalah dalam bidang penyelesaian dan perkhidmatan digital untuk pelanggan perusahaan," katanya.
Menurutnya, kumpulan sedang mempergiatkan usaha dalam tempoh baki 7 bulan untuk menjayakan peringkat transformasi yang seterusnya.
"Kami turut melihat kepada jumlah capex antara 14 hingga 18% daripada hasil, dengan perbelanjaan utama
memberi fokus kepada perluasan dan pemodenan rangkaian serta meningkatkan pengalaman pelanggan,” tambahnya. - DagangNews.com