TNB akan melabur RM20 bilion setahun bagi mempercepatkan pelan Peralihan Tenaga 2050 | DagangNews Skip to main content

TNB akan melabur RM20 bilion setahun bagi mempercepatkan pelan Peralihan Tenaga 2050

Grid mempunyai potensi meraih perolehan sebanyak RM7 bilion pada 2050. - Gambar DagangNews.com
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur kira-kira RM20 bilion setahun dalam tempoh 28 tahun akan datang sebagai perbelanjaan modal (CAPEX) dalam inisiatif mempercepatkan pelan Peralihan Tenaganya sempena aspirasi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato' Indera Ir. Baharin Din berkata, pelaburan tersebut akan membuka jalan kepada TNB melakar perjalanan mencapai aspirasi sifar bersihnya dan mencipta peluang meraih lebih dua kali ganda perolehan sebelum cukai dan faedah (EBIT).

 

""Perjalanan Peralihan Tenaga Bertanggungjawab ini akan membawa pertumbuhan perniagaan yang positif kepada Kumpulan, sambil kami mempercepatkan usaha untuk nyah karbon," katanya pada TNB’s Energy Transition Plan 2050 Gallery Walk di Kuala Lumpur, semalam.

 

Program sehari itu dihadiri pemimpin kanan pemegang saham utama TNB termasuk Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta pengurus dana dan penganalisis. Ia diadakan untuk memberikan butiran lanjut mengenai inisiatif TNB dalam mempercepatkan usaha mencapai aspirasi kemampanannya.

 

Awal bulan ini, TNB mengumumkan inisiatif untuk menyegerakan agenda kemampanannya (yang diumumkan pada Ogos tahun lepas) dan berkongsi kemajuan pelan Peralihan Tenaga. Baharin memberitahu forum berkenaan bahawa dengan Kumpulan akan terus melabur dalam Grid Masa Hadapan, TNB bakal mengembangkan aset kawal selia itu kepada RM100 bilion menjelang 2050.

 

“Kami akan terus membangunkan kesalinghubungan grid serantau yang akan membolehkan perluasan pengagihan sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB), sekali gus membantu nyah karbon sistem tenaga ASEAN di samping mengukuhkan keselamatan bekalan. Grid ini akan memberikan Kumpulan potensi pendapatan sebanyak RM7 bilion menjelang 2050.”

 

Melalui Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid – APG) yang kukuh, saling hubung dan berdaya tahan, negara-negara ASEAN boleh memindahkan lebihan tenaga daripada satu kawasan penjanaan kepada kawasan yang mengalami kekurangan bekalan. Ia akan membolehkan rantau ini menyatukan pelbagai profil sumber bekalan TBB yang berbeza-beza, sekali gus memudahkan langkah penyahkarbonan sistem tenaga ASEAN.

 

Sesungguhnya, potensi kapasiti TBB di Malaysia mampu meluaskan lagi faedah ekonomi, termasuk mengeksport tenaga tersebut kepada negara jiran serantau pada masa mempunyai lebihan bekalan.


 

Dato' Indera Ir. Baharin Din
                 Dato' Indera Ir. Baharin Din

 


Baharin juga berkata, TNB sedang mempercepatkan agenda kelestariannya dan ini memerlukan Kumpulan melakukan anjakan besar merentasi rantaian nilai dalam memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

 

“Disokong oleh pasaran domestik yang stabil, aspirasi Peralihan Tenaga akan memberikan kami keupayaan tambahan, teknologi dan modal yang penting untuk masa depan lebih lestari. Inisiatif segera kami sepanjang peralihan ini didorong oleh rasa tanggungjawab yang mendalam, memandangkan peranan TNB dalam landskap tenaga negara, serta rasa mendesak untuk memastikan kelestarian perniagaan kami.”

 

Baharin mendedahkan bahawa selain memperkasa Grid Nasional, TNB sedang mengambil tiga inisiatif lagi untuk menyegerakan agenda kemampanannya. Ia melibatkan anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) serta New Energy Division (NED) TNB dan bidang kenderaan elektrik (EV).

 

Mengenai TNB Genco, beliau berkata pecutan pelan penyahkarbonan TNB akan meningkatkan nilai perusahaan Genco untuk membolehkan pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO). TNB Genco menyasarkan untuk memperoleh anggaran pendapatan RM40 bilion daripada pasaran penjanaan domestik menjelang 2050.

 

Selain itu, TNB sedang meneroka projek gas dan kuasa hidro di ASEAN dengan sasaran kira-kira 800 megawatt (MW) menjelang 2050.

 

Dalam mengembangkan portfolio Tenaga Boleh Baharu (TBB), NED menyasarkan kapasiti 14.3 gigawatt (GW) menjelang 2050 dengan anggaran pelaburan ekuiti AS$ 7 bilion.

 

Strategi NED adalah untuk meningkatkan pelaburan dalam solar berskala besar serta angin darat dan luar pesisir, dengan tumpuan dalam pasaran sedia ada di Malaysia dan United Kingdom serta pasaran baharu di Sepanyol, Ireland, Perancis, Thailand, Filipina, Vietnam, Australia, Taiwan dan Korea.

 

Baharin menambah berkenaan EV, tumpuan TNB adalah pada “membangunkan Ekosistem EV sebagai sebahagian daripada usaha untuk membawa pengguna sepanjang perjalanan Peralihan Tenaga.

 

"Kami komited untuk melabur RM90 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memacu penggunaan EV, mencapai 500,000 kereta menjelang 2030 yang akan menyumbang RM1.25 bilion hasil elektrik setahun,” ujar beliau. - DagangNews.com