Tuju Setia tender projek perindustrian, hospital RM2.8 bilion | DagangNews Skip to main content

Tuju Setia tender projek perindustrian, hospital RM2.8 bilion

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat perkhidmatan pembinaan Tuju Setia Berhad (Tuju Setia) sedang menjalankan proses tender untuk projek bernilai RM2.8 bilion untuk membina bangunan bertingkat tinggi serta perindustrian, hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan.

 

Walaupun harga bahan binaan seperti keluli dan konkrit meningkat, Pengarah Urusannya, Wee Eng Kong berkata, masih terdapat tender aktif untuk bangunan penting seperti kediaman, hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan.

 

“Kepakaran kami adalah dalam membina bangunan tinggi terutamanya dalam julat bangunan kediaman dan komersil yang mampu dimiliki hingga premium yang terletak secara strategik di kawasan untuk memenuhi permintaan kukuh. Dua kemenangan terakhir kami daripada Sunway mencerminkan permintaan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Buku pesanan semasa Tuju Setia bernilai RM1.5 bilion termasuk kemenangan baru-baru ini sebanyak RM257 juta Kediaman Jernih (Kajang) diperoleh pada 20 Jun 2022 dan Kediaman Sunway d’hill RM311.7 juta (Petaling Jaya) dimenangi pada 30 Disember 2021.

 

Projek lain sedang dijalankan ialah Mutiara Central Office Suites (Cheras), Riana Dutamas - Fasa 2 (Segambut), Lakefront Condominiums at Emerald Hills (Cheras), TUAI Residence (Setia Alam), The Pulse Residence (Puchong), 121 Residence (Petaling Jaya), One Equine (Seri Kembangan) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kajang.

 

Pada Mesyuarat Agung Tahunan, para pemegang saham meluluskan dividen akhir sebanyak 0.5 sen sesaham bagi TK2021, dengan tarikh ex-date pada 5 Julai 2022 dan tarikh pembayaran pada 20 Julai 2022. 

 

Bersama-sama dengan dividen interim pertama sebanyak 0.5 sen yang dibayar pada 20 Januari 2022, jumlah pembayaran dividen bagi TK2021 akan berjumlah RM3.2 juta atau 39.0% daripada keuntungan bersih TK2021. Ini melebihi dasar dividen Tuju Setia untuk mengagihkan 25% daripada keuntungan bersih tahunan.

 

Wee berkata, mereka menghargai para pemegang saham yang kekal menyokong walaupun dalam masa yang mencabar. 

 

"Melangkah ke hadapan, Tuju Setia akan berusaha ke arah mengekalkan operasi perniagaan kami dan menguruskan kewangan kami secara berhemat dalam tempoh kitaran super komoditi ini.

 

"Kami berharap dapat mengekalkan aktiviti pembinaan pada tahap puncak dan mengambil bahagian secara aktif dalam tender untuk mendapatkan projek baharu," katanya. - DagangNews.com