Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 16 Dis - Turkish Aerospace Incorporation menjalin kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) bagi memberikan bimbingan dalam pendidikan aeroangkasa, latihan teknikal dan program kajian di Malaysia.
Kerjasama itu akan memberi fokus kepada beberapa bidang seperti tenaga kerja, rekaan aeroangkasa dan kejuruteraan, bindang pembuatan, integrasi dan penyelenggaraan sistem, penyelenggaran dan baik pulih (MRO) untuk pesawat ringan dan drones.
Ia adalah selari dengan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)
Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Incorporation, Prof. Dr. Temel Kotil menzahirkan perasaan gembiranya untuk bekerjasama dengan UniKL MIAT untuk bidang pendidikan aeroangkasa dan program latihan di negara ini.
"Negara ini terletak berada dalam kawasan paling pesat membangun di dunia bagi pasaran penerbangan dan jalinan kerjasama ini akan membolehkan kami memenuhi permintaan tenaga kerja profesional dalam industri aeroangkasa selain membantu Malaysia menjadi juara dalam bidang aeroangkasa di rantu ini," katanya selepas menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) di UniKL MIAT Kampus Subang, hari ini.
Turkish Aerospace Incorporation adalah pusat pembangunan teknologi, pembuatan, integrasi sistem aeroangkasa, moderniasi dan perkhdimatan selepas jualan di Turki selain menghasilkan pesawat dan drones di pusat pembuatan utama mereka di Ankara.
Sementara itu, Dekan UniKL MIAT, Dr. Mohd Hafizi Shamsudin menyuarakan komitmen universiti dalam menyokong kerjasama itu dengan sasaran membentuk Pusat Kecemerlangan yang merangkumi pelbagai aspek dalam bidang aeroangkasa seperti rekaan dan kejuruteraan, pembuatan, integrasi sistem dan MRO di dalam universiti itu.
"UniKL MIAT sangat gembira dengan kerjasama dengan Turkish Aerospace Incorporation kerana ia akan memberi manfaat kepada graduan dan bidang aeroangkasa di Malaysia pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com