Unit Ocean Vantage raih kontrak bernilai RM4.8 juta | DagangNews Skip to main content

Unit Ocean Vantage raih kontrak bernilai RM4.8 juta

KUALA LUMPUR 14 Julai - Ocean Vantage Holdings Bhd. (OVH) menerusi anak syarikatnya pegangan 70% miliknya, Ocean Vantage Electrical & Instrumentation Sdn Bhd (OVEI) dilantik sebagai subkontraktor bagi projek di Taman Berteknologi Tinggi Kulim, Kedah.

 

Kumpulan menerima surat anugerah daripada Bakat Industri Sdn. Bhd. bertarikh 13 Julai 2022 membabitkan kontrak bernilai RM4.8 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

OVEI akan menyediakan kerja-kerja kabel bagi pengurusan kemudahan dan sistem kawalan termasuk pengujian dan pentauliahan bagi 2 bangunan di kawasan berkenaan.

 

"Tarikh permulaan projek adalah 17 Ogos 2022 dan dijangka selesai pada 15 Jun 2023," katanya.

 

Kumpulan berkata, OVEI akan membiayai projek tersebut menerusi dana dalaman atau pembiayaan.

 

Projek tersebut dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada terbitan modal saham dan pemegangan utama OVH dan juga penggearan kumpulan.

 

"Sebaliknya, ia akan menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih OVH dan anak-anak syarikatnya sepanjang tempoh projek ini," katanya. - DagangNews.com