Untung bersih FGV melonjak 88%, terbaik dalam 5 tahun | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FGV melonjak 88%, terbaik dalam 5 tahun

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 26 Feb. - Untung bersih FGV Holdings Berhad pada suku keempat berakhir 31 Disember 2020 meningkat 87.8% kepada RM134.9 juta berbanding RM71.8 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, FGV berkata, perolehan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM4 bilion berbanding RM3.15 bilion bagi tempoh sama 2019. 

 

Keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) FGV pula sebanyak RM326 juta, peningkatan ketara daripada PBZT sebanyak RM46 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Untuk tempoh yang dikaji, harga purata minyak sawit mentah (MSM) adalah RM3,059 setiap metrik tan (MT), lebih tinggi daripada harga purata MSM yang direalisasikan pada suku keempat 2019 sebanyak RM2,159 setiap MT. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, FGV turut merekodkan prestasi yang baik apabila merekodkan untung bersih sebanyak RM150 juta berbanding kerugian bersih RM246 juta bagi tempoh sama 2019.

 

Perolehan bagi tahun kewangan itu juga meningkat 6% kepada RM14.1 bilion berbanding RM13.26 bilion tahun sebelumnya.

 

FGV turut mencatatkan PBZT sebanyak RM353 juta, berbanding kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM338 juta pada 2019. 

 

Harga purata minyak sawit mentah yang direalisasikan untuk tahun kewangan 2020 meningkat 32% kepada RM2,675 setiap MT berbanding RM2,021 setiap MT pada tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, FGV melaporkan prestasi kewangan positif tertinggi dalam tempoh 5 tahun, walaupun terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi dan industri minyak sawit pada 2020.

 

"Wabak ini telah mempengaruhi permintaan domestik dan global, dan semakin terjejas disebabkan aktiviti huluan seperti menuai dan mengumpul tandan buah segar (TBS) yang tergendala kerana perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya dalam kenyataan berasingan. 

 

Berikutan prestasi kewangan dan penyata imbangan FGV yang positif, Lembaga Pengarah FGV telah mengesyorkan dividen sebanyak 3 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

 

Menurut Haris Fadzillah, bagi perancangan tahun ini, FGV telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan awal minggu ini untuk mengambil bahagian dalam Projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB). 

 

FGV telah memulakan penanaman kebun benih padi wangi MRQ76 seluas 28 hektar di Sungai Leman, Selangor dan Seberang Perak, Perak. Benih MRQ76 yang ditanam dan dituai pada Januari 2021, akan digunakan untuk memulakan skim kontrak pertanian FGV seluas 350 hektar.

 

“Untuk 2021, kami memperuntukkan 75,000 MT daripada pengeluaran PKE sebagai makanan haiwan untuk penggunaan tempatan bersamaan hampir 20% daripada jumlah pengeluaran PKE kami. 

 

"FGV juga telah mewujudkan rangkaian pengedaran di seluruh Semenanjung Malaysia untuk memastikan bekalan sampai kepada petani tempatan secara efektif,” katanya.

 

Untuk mengukuhkan perniagaan Produk Pengguna, FGV dijangka melancarkan 6 varian produk (SKU) baharu dan menarik dalam masa terdekat bersama rangkaian produk yang sedia ada di pasaran.

 

Beliau berkata, FGV juga tetap teguh dalam usahanya untuk terus melaksanakan pelan tindakan bagi menangani keputusan Panel Aduan (CP) Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) sejak kali terakhir FGV mengemukakan rayuannya kepada RSPO pada 3 April 2020.

 

“RSPO sedang melakukan audit verifikasi untuk menilai kemajuan FGV dalam melaksanakan Petunjuk CP. Enam lokasi telah dipilih dan juruaudit yang dilantik RSPO telah melakukan audit verifikasi di empat kompleks terpilih di Semenanjung Malaysia.

 

"Baki 2 audit di Sabah dijadualkan pada bulan Mac/April 2021, tertakluk kepada penamatan sekatan perjalanan disebabkan oleh COVID-19,” jelas beliau.

 

Mengenai Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS), FGV mengambil pendekatan sistematik dalam memastikan hak pekerja dihormati dan dilindungi, seterusnya menghapuskan amalan yang mungkin menunjukkan eksploitasi buruh. 

 

Seperti yang diumumkan pada Disember 2020, FGV akan meninjau kembali pelantikan firma audit bebas untuk audit operasi dalam jangka masa yang wajar dan akan terus berhubung dengan CBP setelah auditor bebas dilantik.

 

“FGV menjangkakan 2021 akan menjadi tahun yang penting, berikutan cabaran dalam bekalan tenaga kerja dan turun naik harga minyak sawit mentah dalam perniagaan perladangan kami. 

 

"Perniagaan gula akan terus menambah baik prestasi operasi dan kewangannya. Namun, kumpulan akan berpandu kepada strategi untuk meletakkan semula kedudukan FGV sebagai pemain agri perniagaan terkemuka untuk mencipta nilai dalam perniagaan hilirannya,” tegas beliau. - DagangNews.com