Pulau Pinang, Johor dan Selangor catat eksport lebih rendah pada Mac 2024 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pulau Pinang, Johor dan Selangor catat eksport lebih rendah pada Mac 2024 - DOSM

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 April 2024 – Tiga negeri perdagangan utama iaitu Pulau Pinang, Johor dan Selangor mencatatkan penurunan jumlah eksport pada Mac 2024 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

 

Menurut Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Mac 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Selangor merekodkan eksport lebih rendah sebanyak RM2.1 bilion manakala Pulau Pinang (-RM129.8 juta) dan Johor (-RM44.6 juta).

 

Bagaimanapun keseluruhannya, Pulau Pinang, Johor dan Selangor beserta Sarawak dan Kuala Lumpur kekal sebagai pengeksport utama dengan 81.6% eksport Malaysia pada bulan lalu disumbangkan lima negeri tersebut.

 

 

"Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 32.0 peratus, diikuti oleh Johor (20.0%), Selangor (16.9%), Sarawak (8.1%) dan W.P. Kuala Lumpur (4.5%)," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Eksport Malaysia Mac 2024 susut RM1 bilion, produk sawit catat penurunan tertinggi - DOSM

 

Jumaat lalu, DOSM melaporkan Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan Malaysia bernilai RM244.5 bilion pada Mac 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM128.6 bilion dan RM115.8 bilion.

 

Eksport menurun sebanyak RM1.0 bilion (-0.8%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya manakala import pada bulan Mac 2024 meningkat RM12.9 bilion (+12.5%). 

 

dosm

 

Selain tiga negeri berkenaan, turut mencatatkan penurunan eksport pada Mac 2024 ialah Labuan (-RM1.6 bilion), Melaka (-RM686.2 juta), Sabah (-RM443.8 juta), Sarawak (-RM260.9 juta), Negeri Sembilan (-RM118.5 juta) dan Perlis (-RM27.0 juta). 

 

"Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Perak sebanyak RM1.5 bilion, W.P. Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), Terengganu (+RM929.9 juta), Pahang (+RM522.0 juta), Kedah (+RM151.7 juta) dan Kelantan (+RM36.2 juta)," kata DOSM.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, import yang lebih tinggi dilaporkan di kebanyakan negeri pada Mac 2024 iaitu Johor (+RM8.2 bilion), Melaka (+RM1.6 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.2 bilion) dan Kuala Lumpur (+RM1.0 bilion).

 

Katanya, ini dikuti Selangor (+RM996.7 juta), Kedah (+RM419.7 juta), Pahang (+RM152.6 juta), Terengganu (+RM92.1 juta), Kelantan (+RM71.0 juta), Sabah (+RM55.5 juta) dan Labuan (+RM30.3 juta). 

 

"Walau bagaimanapun, nilai import jatuh di Pulau Pinang sebanyak RM521.9 juta, Perak (-RM393.8 juta), Sarawak (-RM115.9 juta) dan Perlis (-RM6.8 juta).

 

"Johor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 27.9 peratus, diikuti oleh\ Selangor (23.6%), Pulau Pinang (19.2%), W.P. Kuala Lumpur (7.5%) dan Kedah (5.0%)," jelasnya. - DagangNews.com