Malaysia sedang merangka undang-undang keselamatan dalam talian - Fahmi | DagangNews Skip to main content

Malaysia sedang merangka undang-undang keselamatan dalam talian - Fahmi

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 6 Mei - Malaysia sedang giat merangka undang-undang berkaitan keselamatan dalam talian bagi menangani ancaman dalam talian yang timbul, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

 

Selain itu kata beliau, antara usaha berterusan dilaksanakan oleh kerajaan untuk membina sebuah komuniti berdaya tahan termasuklah meningkatkan usaha keselamatan siber yang memberi keutamaan kepada keselamatan dalam talian.

 

"Kerajaan baru-baru ini juga telah meluluskan Akta Keselamatan Siber 2024 bagi memperkukuh kerangka keselamatan siber negara.

 

"Selain itu, Kerajaan juga sedang memuktamadkan sebuah kerangka yang konstruktif bagi mengawal selia platform dalam talian untuk melindungi mereka berusia 13 tahun ke bawah daripada ancaman negatif akibat pendedahan awal penggunaan media sosial," kata beliau.

 

 

fahmi fadzil
                   Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

 

 

Fahmi berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 yang julung kali diadakan di Malaysia, di sini hari ini.

 

IRC 2024 berjaya menarik penyertaan lebih 800 peserta dari ASEAN, Korea, Australia dan United Kingdom dengan matlamat untuk menangani isu-isu penting berkaitan inovasi digital dan kawal selia.

 

Bertemakan ‘Aligning Innovation with Safety for a Sustainable Future,’ persidangan itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

Fahmi berkata, sejajar dengan usaha Kerajaan Malaysia untuk memacu inovasi dan memanfaatkan kepakaran teknologi, MCMC telah menghimpunkan barisan pakar daripada pelbagai latar belakang, termasuk pengawal selia, penggubal dasar dan delegasi ASEAN, untuk bertukar pandangan, memupuk kerjasama dan mempengaruhi trajektori kawal selia dalam landskap global yang semakin berkembang.

 

Perkongsian daripada pengawal selia dan pakar bidang subjek adalah penting bagi memastikan sektor telekomunikasi terus berkembang dan membentuk masa depan yang menyaksikan ekosistem digital kekal sebagai daya penggerak untuk ketersambungan dan inovasi.

 

Beberapa sorotan utama sepanjang persidangan ini termasuk ucap tama daripada Ofcom berkenaan dengan Akta Keselamatan Dalam Talian UK, panel kawal selia ASEAN mengenai kemajuan e-dagang, perbincangan berkaitan teknologi-teknologi baharu muncul seperti Kecerdasan Buatan dan Blockchain serta strategi-strategi untuk merapatkan jurang digital bagi mempromosikan ketersambungan inklusif.

 

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan visi pasca 2025 untuk komuniti ASEAN yang menekankan kepada aspek ketahanan, kestabilan dan keamanan. - DagangNews.com