Untung bersih 3QFY24 Seng Fong melonjak hampir 3 kali ganda kepada RM15 juta didorong jumlah jualan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 3QFY24 Seng Fong melonjak hampir 3 kali ganda kepada RM15 juta didorong jumlah jualan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Untung bersih Seng Fong Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24) melonjak hampir tiga kali ganda kepada RM15.14 juta berbanding RM4.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong jumlah jualan yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil mereka melonjak sebanyak 39.2% atau RM84.6 juta kepada RM300.3 juta berbanding RM215.7 juta pada tahun lalu.

 

"Katanya, peningkatan jualan bagi suku berkenaan disumbangkan daripada pertambahan waktu pengeluaran dengan tambahan syif kerja kedua di kesemua kilangnya," katanya.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tempoh eembilan bulan berakhir 31 Mac 2024 (9MFY24) meningkat kepada RM40.8 juta berbanding RM19.6 juta pada tahun lalu disokong hasil sebanyak RM807.3 juta berbanding RM698.2 juta pada 9MFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, mereka akan meningkatkan bahagian pasarannya berikutan selesainya peningkatan jam pengeluaran di ketiga-tiga kilang dengan menambah syif kerja kedua, sekali gus meningkatkan waktu pengeluaran daripada 12 jam sehari kepada 18 jam sehari.

 

Kumpulan itu juga merancang untuk menggunakan kira-kira RM23.4 juta atau 60.2% daripada jumlah hasil yang diperoleh daripada cadangan penempatan persendirian, sebagai sumber dana untuk membiayai sebahagian pemasangan Peralatan Pengilangan Getah Pintar di Kilang 1, Kilang 2 dan Kilang 3 untuk mengautomasikan proses pembuatan.

 

"Pemasangan sistem tersebut yang menggunakan teknologi pintar akan mengautomasikan barisan pemprosesan sedia ada dengan kawalan digital dan menggunakan robot yang dipandu secara automatik.

 

"Ia membolehkan kumpulan mengurangkan kebergantungan terhadap buruh manual dan meningkatkan jaminan kualiti serta konsistensi produk," katanya.- DagangNews.com