Skip to main content

Untung Sebelum Cukai Q2FY21 Glomac melonjak 56% kepada RM14.3 juta

Projek rumah kediaman, Tresna Triandra, yang telah mendapat sambutan luar biasa, dengan jualan 74% dalam masa hanya 3 bulan. - Gambar Glomac

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Glomac Berhad mengumumkan keputusan belum diaudit bagi suku kedua tahun kewangan semasa yang berakhir 30 April 2021 yang menyaksikan hasil pendapatannya melonjak 70% kepada RM104.6 juta, iaitu suatu peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 56% kepada RM14.3 juta pada suku tahun yang dilaporkan.

 

Prestasi lebih kukuh dicatatkan selepas penyambungan aktiviti pembinaan pasca PKP dan lanjutan daripada itu, peningkatan bil peringkat penyiapan dari projek Glomac yang sedang dilaksanakan seperti Saujana Perdana di Bandar Saujana Utama, Plaza@Kelana Jaya, Saujana Rawang dan 121 Residences.

 

Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh 6 bulan meningkat sebanyak 41% kepada RM19.6 juta, berasaskan peningkatan hasil pendapatan kumpulan sebanyak 34% yang mencecah RM151.5 juta.

 

Lembaran imbangan Glomac tetap kukuh, dengan tahap aset cair yang secukupnya untuk membiayai aktiviti pembangunan. Sehingga 31 Oktober 2020, kadar hutang bersih kekal pada paras rendah 0.28x, manakala wang tunai dan deposit tunai berjumlah RM246.3 juta telah juga meningkat daripada RM176.5 juta yang dilaporkan pada 30 April 2020.

 

Aset bersih sesaham Kumpulan juga naik kepada RM1.44. 2 Glomac mencatatkan jualan kukuh pada suku tahun dengan pelancaran fasa baharu rumah teres dua tingkat di Saujana Perdana pada Julai lalu, Tresna Triandra, yang telah mendapat sambutan luar biasa, dengan jualan 74% dalam masa hanya 3 bulan.

 

Jualan baharu dijangka bertambah pada separuh kedua tahun kewangan ini di mana Kumpulan merancangkan sebahagian besar daripada pelancaran projekprojek yang bernilai RM403 juta. Ini adalah tumpuan Kumpulan kepada fasa kediaman bertanah mampu milik di pembandaran dimajukan Glomac yang sedang pesat berkembang.

 

Sebahagian besar daripada fasa pembinaan yang sedang dijalankan bagi produk kediaman bertanah Glomac sudah hampir dijual sepenuhnya. Untuk memenuhi permintaan semasa, Kumpulan melancarkan rumah teres dua tingkat Mawar Sari di Saujana Perdana pada 14 November, merangkumi 120 unit dengan ruang binaan 1,815 kaki persegi.

 

Pasaran hartanah dijangka terus mencabar terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan berperingkat dilaksanakan di negara ini. Bagi menyesuaikan diri dengan keadaan semasa, Glomac telah memulakan kempen pemasaran digital agresif untuk menyokong strategi jualan konvensional dan meningkatkan jualan secara berkesan.

 

Aplikasi maya dan unit pameran maya telah diperkenalkan. Yang terkini, kempen digital HappyNest selama tiga bulan telah dilancarkan di mana Glomac menawarkan baucar tunai mingguan dan cabutan bertuah bulanan kepada pembeli.

 

Kumpulan juga berganding bahu dengan Maybank Islamic menerusi penyelesaian pembiayaan rumah HouzKEY untuk menyediakan lebih banyak manfaat kepada pembeli, menawarkan kemudahan pembiayaan 100%, tidak perlu membayar dalam tempoh pembinaan dan kadar berpatutan dengan bayaran ansuran bulanan rendah.

 

Potensi perolehan jangka pendek Glomac disokong oleh jualan belum dibil yang kukuh berjumlah RM649 juta. Angka ini akan ditambah lagi dengan jualan yang semakin meningkat daripada projek sedia ada Glomac dan juga pembangunan yang bakal dilancarkan.

 

Dalam pada itu, aktiviti pembangunan Kumpulan bakal disokong kuat oleh portfolio pembangunan tanah di lokasi-lokasi prima dengan anggaran NPK berjumlah RM8 bilion. - DagangNews.com