Uzma raih projek solar skala besar daripada Nextenaga bernilai lebih RM100 juta | DagangNews Skip to main content

Uzma raih projek solar skala besar daripada Nextenaga bernilai lebih RM100 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Uzma Berhad menerusi anak syarikatnya, Uzma Nexus Sdn. Bhd. berjaya meraih kontrak bernilai RM101,827,000 bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan projek berskala besar berkapisiti 29.99MWac daripada Nextenaga Sdn. Bhd. 

 

Penerimaan kontrak itu menyaksikan Uzma Nexus melantik Suria Infiniti Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat berkaitan Uzma untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan menerusi surat lantikan yang diterima pada 29 April 2022.

 

"Kontrak tersebut melibatkan kerja-kerja kejuruteraan awam, struktur, reka bentuk, sistem solar, struktur pemasangan solar, sistem penyaman udara SPP dan keterhubungan.

 

"Ia juga melibatkan kerja-kerja keterhubungan Tenaga Nasional Berhad (TNB), penyambungan Pencawang Masuk Utama dan sistem keselamatan selaras dengan ketetapan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Uzma Nexus perlu menyiapkan kerja-kerja itu dan menyerahkannya kepada Nextenaga pada 31 Disember 2022 bagi membolehkan tarikh mula beroperasi (IOD) dan tarikh operasi komersial (COD) menjelang 9 Mac 2023. 

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 dan sehingga tamat kontrak.

 

Bagaimanapun, projek itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan saham syarikat kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham. - DagangNews.com